KEGANASAN berasaskan jantina adalah masalah global yang memberi kesan kepada semua pihak.
Wanita di semua peringkat umur menjadi mangsa pelbagai jenis keganasan, daripada penderaan rumah tangga sehingga rogol, daripada sunat perempuan hingga penderaan mental, di mana mereka menderita hanya kerana jantina mereka.
Walaupun terdapat sekian banyak kes dilaporkan dan dibawa ke muka pengadilan, masih ramai yang menderita dalam diam kerana kejahilan masyarakat, sikap tidak toleran dan tidak acuh terhadap wanita dan gadis.
Hasilnya, separuh daripada populasi dunia kini hidup dalam bayang ketakutan atau ancaman keganasan.
Kami percaya setiap wanita perlu dilayan dengan hormat dan bermaruah. Mereka perlu mampu menjalani hidup sebagai wanita tanpa rasa sangsi atau dengan akibat yang mengancam keadaan fizikal, emosi dan sosial.
Sebagai penggubal undang-undang di Malaysia, kami berkomitmen penuh untuk menghentikan keganasan terhadap wanita dalam semua sisi, bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai anggota United Nations Human Rights Council tahun ini.
Suara dan pandangan kami tidak hanya perlu didengar sebagai mewakili mereka yang lemah dan tidak mampu bersuara menentang keganasan sistemik dan penindasan ke atas wanita, tetapi juga diterjemahkan kepada undang-undang, peraturan dan dasar yang bertujuan untuk melindungi mereka dari kemudaratan dan ketidakadilan.
Perlu terdapat perubahan dasar bagi melindungi wanita-wanita Malaysia.
Akta Anti-Gangguan Seksual yang lama dinanti harus segera dibentangkan bagi melindungi wanita, samaada sebagai pekerja, atlit atau juga kontraktor.
Kami menentang semua bentuk diskriminasi atau pengabaian terhadap wanita, sama ada telah menjadi sebahagian dari institusi melalui undang-undang pincang, atau tertanam dalam budaya dan kepercayaan masyarakat.
Pada masa yang sama, kerajaan juga harus lebih fokus untuk melaksanakan undang-undang anti-menguntit bagi memperkasa keselamatan wanita, termasuk di dunia maya.
Selari perkembangan zaman, undang-undang juga perlu dikemaskini bagi membenarkan kes khas misalnya wanita di dalam penjara bersama anak kecil.
Bukannya memisahkan ibu dan anak, perlu diberikan kebenaran khusus bagi hubungan ibu dan anak dalam sel khusus.
Advokasi bagi pemberdayaan wanita adalah perjuangan berterusan dan kami berusaha untuk mengangkat isu ini melalui saluran rasmi mahupun tidak rasmi, termasuk penegasan
kepada pendidikan, peluang sama rata, mengarusperdana jantina dan hubungan dengan para pemegangtaruh.
Ini disahkan oleh tinjauan WAO yang memberikan indikasi rakyat Malaysia secara amnya mempunyai kesedaran tentang keganasan rumah tangga tetapi masih berpegang
teguh kepada “idea-idea patriaki misalnya menyalahkan mangsa, memberikan alasan buat pemangsa dan melihat keluarga sebagai institusi suci yang bebas daripada pengaruh luar.”
Sehingga terdapat jaminan tidak ada wanita akan ketinggalan, kami akan terus berjuang untuk agenda kemanusiaan ini demi kebaikan masyarakat. – 25 November, 2021.
* Maria Chin Abdullah, ahli Parlimen Petaling Jaya; Elizabeth Wong, Adun Bukit Lanjan; Jamaliah Jamaluddin, Adun Bandar Utama; Lim Yi Wei, Adun Kampung Tunku
Komen