PERGERAKAN Hizbullah mengecam keputusan Australia pada Rabu yang menyenaraikan keseluruhan kumpulan itu sebagai “organisasi pengganas”, menuduh Canberra tunduk kepada desakan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Hizbullah sekian lama menjadi sasaran sekatan AS dan disenaraihitamkan oleh AS dan Israel sebagai organisasi “pengganas”, tetapi kumpulan yang disokong Iran itu juga merupakan pemain politik yang berkuasa, dengan kerusi di Parlimen Lubnan.
Banyak negara mengelak daripada menyekat sayap politik kumpulan itu, bimbang langkah sedemikian boleh menjejaskan hubungan dengan pihak berkuasa Lubnan atau menyumbang kepada ketidakstabilan negara.
Hizbullah dalam satu kenyataan “mengecam sekeras-kerasnya keputusan pihak berkuasa Australia”, berkata ia “suatu penyerahan yang memalukan kepada diktat Amerika dan Zionis” dan bertindak demi kepentingan Israel.
Tindakan Australia meneruskan larangan sedia ada terhadap sayap bersenjata kumpulan Syiah itu.
“Keputusan itu dan sebelum ini tidak akan menjejaskan kedudukan Hizbullah dan haknya untuk menentang”, kata kenyataan itu.
Hizbullah diasaskan pada 1980-an untuk memerangi pendudukan Israel di selatan Lubnan dan berkembang menjadi proksi serantau utama Iran, dengan operasi di Syria, Iraq dan Yaman.
Satu-satunya puak Lubnan yang menyimpan senjata selepas perang saudara 1975-1990, Hizbullah mempunyai senjata lebih kuat daripada tentera negara Lubnan sendiri.
Ia menegaskan peranan gerakan “penentangan” terhadap Israel dan berkata tugasnya untuk mempertahankan Lubnan. – AFP, 25 November, 2021.
Komen