PM Sweden letak jawatan beberapa jam selepas dilantik


Magdalena Andersson letak jawatan sebagai perdana menteri Sweden selepas beberapa jam dilantik. – Gambar EPA, 25 November, 2021.

PERDANA Menteri Sweden Magdalena Andersson pada Rabu mengemukakan peletakan jawatannya hanya beberapa jam selepas pelantikannya oleh Parlimen, selepas bajetnya gagal diluluskan dan The Greens Party meninggalkan kerajaan campuran.

“Terdapat amalan Perlembagaan bahawa kerajaan campuran harus meletakkan jawatan apabila satu parti keluar,” kata Andersson kepada pemberita.

“Saya tidak mahu memimpin kerajaan yang kesahihannya akan dipersoalkan.”

Andersson berkata beliau berharap untuk dipilih semula ke jawatan itu tidak lama lagi kerana ketua kerajaan minoriti hanya terdiri daripada parti Sosial Demokrat.

Andersson menjadi wanita pertama dilantik untuk jawatan perdana menteri di Sweden selepas mencapai perjanjian dengan The Left Party untuk menaikkan pencen sebagai pertukaran sokongannya dalam undian pada Rabu.

Tetapi The Centre Party yang kecil kemudian menarik balik sokongannya terhadap belanjawan Andersson, disebabkan persetujuan dibuat dengan The Left Party, menyebabkan belanjawan tidak mempunyai undi mencukupi untuk diluluskan di Parlimen.

Parlimen sebaliknya mengguna pakai belanjawan alternatif yang dibentangkan oleh pihak pembangkang konservatif Moderates, Christian Democrats dan Sweden Democrats.

Ia berlaku apabila pemimpin Greens Per Bolund berkata pihaknya tidak boleh bertolak ansur dengan “belanjawan bersejarah, yang digubal buat kali pertama dengan sayap kanan” oleh pembangkang, dan keluar daripada kerajaan.

Antara lain, ia berkata pemotongan cukai yang dirancang oleh pembangkang berhubung petrol akan membawa kepada pelepasan karbon lebih tinggi.

Speaker Parlimen Andreas Norlen berkata beliau menerima peletakan jawatan Andersson dan akan menghubungi pemimpin parti sebelum memutuskannya pada Khamis. – AFP, 25 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen