KANADA mula memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun semalam, mengikut jejak langkah Israel dan Amerika Syarikat yang turut memberikan suntikan kepada golongan ini.
Di pusat konvensyen Montreal beberapa kanak-kanak antara yang pertama menerima dos Pfizer yang dibenarkan sejak Jumaat lalu untuk kumpulan umur ini.
Janji temu untuk suntikan vaksin kanak-kanak di Quebec semakin meningkat sejak kerajaan memberi lampu hijau kepada langkah berkenaan yang merupakan petunjuk reaksi cemerlang penduduk terhadap program berkenaan, kata jurucakap pihak berkuasa kesihatan Montreal Jean-Nicolas Aube.
Di Twitter Perdana Menteri Quebec Francois Legault melahirkan rasa gembira apabila sebanyak 115.300 janji temu dibuat dalam beberapa jam.
Di Ontario, sebilangan kanak-kanak diberi vaksin pada Selasa di Toronto disebabkan penghantaran awal dos. Wilayah paling ramai penduduk di Kanada akan memulakan kempennya secara rasmi hari ini.
“Ini adalah yang pertama di Kanada dan permulaan bagi ribuan kanak-kanak di Toronto mendapat perlindungan terbaik terhadap Covid-19 dalam beberapa minggu akan datang,” kata Datuk Bandar Toronto John Tory dalam satu kenyataan.
Pada Rabu John hadir di sebuah klinik bersama Polkaroo, watak seperti kanggaru hijau dari rancangan televisyen kanak-kanak tempatan untuk mengumumkan lebih 31,000 temu janji vaksin kanak-kanak sudah direkodkan setakat ini.
Kanada merupakan salah sebuah negara yang mencatatkan kadar vaksinasi tertinggi di dunia terhadap Covid-19 dengan lebih 85% mereka berusia 12 tahun ke atas sudah menerima dua dos suntikan.
Health Canada semalam turut meluluskan penggunaan vaksin dos tunggal Johnson & Johnson untuk mereka berusia 18 tahun ke atas. – AFP, 25 November, 2021.
Komen