SEKURANG-KURANGNYA 27 pendatang yang cuba ke England dari Perancis meninggal dunia pada Rabu apabila bot mereka karam di luar pantai utara Perancis, kejadian paling buruk sejak Selat Inggeris itu menjadi hab lintasan rahsia.
Presiden Emmanuel Macron berikrar Perancis tidak akan membenarkan Selat itu menjadi “tanah perkuburan” dan juga bercakap dengan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson agar bersetuju meningkatkan usaha menghalang pihak tidak bertanggungjawab yang mengatur perjalanan itu.
“Ia menjadi nilai utama Eropah—kemanusiaan, penghormatan terhadap maruah setiap individu—yang sedang berkabung,” kata Macron.
Insiden itu menyebabkan angka kematian tertinggi sejak sekurang-kurangnya 2018 apabila pendatang mula menggunakan bot secara beramai-ramai untuk menyeberangi Selat Inggeris.
Ia berlaku ketika ketegangan semakin meningkat antara London dan Paris berhubung rekod bilangan pendatang yang cuba menyeberangi Selat Inggeris.
Pendakwa raya membuka siasatan pembunuhan beramai-ramai selepas bot itu karam di bandar pelabuhan utara Calais.
Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin berkata empat suspek penyeludup yang didakwa mempunyai kaitan secara langsung dengan cubaan menyeberangi itu sudah ditahan.
Darmanin memberitahu pemberita di Calai hanya dua mangsa terselamat berjaya ditemui dan kedua-duanya dalam keadaan kritikal.
Beliau berkata lima wanita dan seorang kanak-kanak perempuan adalah antara yang maut, manakala Datuk Bandar Calais, Natacha Bouchart berkata seorang wanita hamil turut menjadi mangsa.
Kewarganegaraan semua pendatang belum dapat dikenal pasti.
Data awal melaporkan 31 pendatang meninggal dunia tetapi kementerian dalam negeri kemudian mengubah angka tersebut kepada 27 orang.
Perdana Menteri Jean Castex akan mengadakan mesyuarat krisis pada pagi Khamis, menurut kenyataan dikeluarkan pejabatnya. – AFP, 25 November, 2021.
Komen