Lebih ramai kibar bendera putih berbanding yang membantu di platform Kita Jaga


Raevathi Supramaniam

Kini sukar untuk mendapatkan golongan yang memberikan bantuan berbanding yang memerlukan, kata Terato Tech.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2021.

MASIH ramai rakyat Malaysia yang sedang mengibarkan bendera putih di laman web Kita Jaga Malaysia (kitaga.co) meminta bantuan tetapi tidak cukup orang yang secara sukarela membantu mereka yang memerlukan, kata CEO Terato Tech, Zara Aida.

Pemaju laman web Terato Tech membina platform itu bermula 5 Julai. Ia bagi menyerlahkan inisiatif bendera putih yang menggesa golongan memerlukan untuk menaikkan bendera putih bagi memaklumkan kepada orang lain supaya bantuan dapat diberikan.

“Pada bulan Julai, trend apabila seseorang meminta bantuan, mereka akan menerimanya dalam masa sejam,” kata Zara kepada The Malaysian Insight.

“Sejak itu, bilangan individu yang menawarkan bantuan semakin berkurangan. Fokus mereka berbeza sekarang, mereka perlu pergi bekerja. Mereka juga mengalami keletihan penderma, jadi agak sukar untuk mendapatkan orang untuk membantu pada masa ini.”

Keletihan penderma adalah fenomena yang mana orang tidak lagi menderma kepada badan amal, walaupun mereka pernah melakukannya sebelum ini.

Sejak platform itu dimulakan pada Julai, kira-kira 100,000 individu yang menaikkan bendera putih telah menerima bantuan, katanya.

Terdapat juga sejumlah 29,320 sukarelawan dalam tempoh itu.

“Untuk bulan November, 501 bendera putih telah dinaikkan di platform. Bagaimanapun, terdapat hanya 105 orang di platform yang telah menaikkan bendera biru (petunjuk bahawa mereka bersedia membantu).

Berbanding Julai, platform itu mempunyai kira-kira 73,750 permintaan bantuan manakala terdapat 25,723 sukarelawan menawarkan bantuan.

Pada bulan Ogos, terdapat 25,634 bendera putih, manakala terdapat 9,490 pada bulan September, 1,323 pada bulan Oktober dan 510 pada bulan November.

Bagi bendera biru, terdapat 3,073 pada bulan Ogos, 525 pada bulan September, 256 pada bulan Oktober dan 105 pada bulan November.

“Salah satu sebab utama terdapat jumlah yang begitu besar pada bulan Julai, Ogos dan September juga kerana segelintir daripada mereka meminta bantuan berkali-kali.

“Kami telah mengemas kini laman web itu untuk memastikan satu nombor telefon hanya boleh digunakan untuk meminta bantuan sekali sahaja dan ia perlu disahkan.

“Mekanisme ini juga untuk memastikan tiada penipu di laman web yang mengambil kesempatan ke atas orang lain”

Setelah seseorang menerima bantuan, permintaan mereka akan ditandakan sebagai lengkap.

Bantuan makanan kekal sebagai permintaan tertinggi di kalangan mereka yang menaikkan bendera putih, kata Zara.

“Kebanyakan permintaan masih lagi barangan runcit, lampin pakai buang dan susu tepung. Ada yang meminta wang, tetapi sangat sedikit. Kami menerima paling banyak permintaan di Selangor. Terdapat 196 permintaan daripada Selangor pada November, diikuti oleh Kuala Lumpur (51) dan Johor (48).” – 25 November, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen