Harga sayur naik di Perlis tetapi bekalan stabil, kata KPDNHEP


Pengarah KPDNHEP Perlis Norazah Jaapar berkata berkata secara umumnya bekalan sayuran di Perlis diperoleh daripada pembekal di Cameron Highland dan Thailand. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2021.

BEKALAN sayur di Perlis masih stabil walaupun berlaku trend kenaikan harga beberapa jenis sayuran yang ketara sejak minggu lepas.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis, Norazah Jaapar berkata secara umumnya bekalan sayuran di Perlis diperoleh daripada pembekal di Cameron Highland dan Thailand.

“Berdasarkan pemeriksaan harian, bekalan sayur-sayuran di negeri ini masih stabil. Julat kenaikan harga bagi sayur-sayuran seperti kubis, sawi, brokoli, kacang buncis dan cili merah adalah antara RM2 hingga RM8 sekilogram,” katanya dalam kenyataan di Kangar hari ini.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diterima pihaknya, kenaikan harga sayuran berpunca daripada faktor cuaca (hujan berterusan) dan bekalan berkurangan.

“Bagaimanapun, pihak kami mendapati terdapat penurunan harga bagi sayuran brokoli bermula semalam, manakala harga bagi sayuran-sayuran lain seperti tauge, tomato dan cili hijau adalah stabil,” katanya.

Beliau berkata pejabat KPDNHEP Perlis juga telah melakukan 29 pemeriksaan melibatkan pasar awam, pasar raya dan premis kedai runcit sekitar negeri ini dan setakat ini sebanyak lima surat pemberitahuan dikeluarkan berdasarkan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kepada peniaga berhubung dengan pemeriksaan kenaikan harga sayuran. – Bernama, 24 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen