Suami isteri ditahan terlibat edar dadah 


POLIS menahan sepasang suami isteri yang disyaki terlibat dengan kegiatan mengedar dadah di daerah Manjung, selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Melati, di Lumut, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi ketika dihubungi hari ini berkata pihaknya turut merampas cebisan daun-daun kering mampat disyaki dadah jenis ganja dalam serbuan kira-kira pukul 6.30 petang itu.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek berumur 27 tahun yang mempunyai seorang anak perempuan berumur lima tahun itu telah terlibat dengan kegiatan mengedar dadah sejak dua bulan lepas sekitar Lumut dan Sitiawan.

Katanya ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah THC dan suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Isnin lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, Nor Omar berkata pihaknya menahan 51 individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam Ops Sarang Khas Bersepadu (Jihad  Dadah) di daerah Manjung yang bermula sejak Ahad lepas hingga semalam.

“Nilai rampasan keseluruhan dadah berjumlah RM9,185 merangkumi 18.72g heroin, 18.01g syabu, 114.61g ganja, (8.27) g ketamin dan lapan biji pil eramin 5,” katanya. – Bernama, 24 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen