-2.jpg)
KENAIKAN harga barangan sejak beberapa minggu ini amat membimbangkan rakyat. Rakyat yang baru sahaja dapat menjalankan aktiviti rutin mereka seperti dahulu kala kini semakin terbeban dengan peningkatan harga barangan ini.
Bukan setakat harga barang makanan seperti ayam, telur dan sayuran yang naik sehingga 200% malah saya turut menerima aduan daripada golongan petani bahawa harga racun dan baja untuk tujuan pertanian juga naik mendadak.
Kebanyakan rakyat masih lagi tidak mempunyai pendapatan dan kehidupan yang stabil pasca perintah kawalan pergerakan, dan kini terpaksa berhadapan dengan inflasi dan juga kenaikan harga barang makanan untuk mengisi perut serta harga bahan keperluan untuk menjalankan aktiviti pertanian.
Saya sendiri melalui gerak kerja di kawasan mendapati ramai dalam kalangan rakyat masih lagi memerlukan bantuan, bukan sahaja golongan miskin tegar, bahkan golongan M40 juga kini sangat tersepit kehidupan mereka.
Saya menyeru kerajaan untuk segera menyelesaikan masalah ini sebelum hidup rakyat melarat.
Walaupun masalah ini sudah dikenal pasti sejak beberapa bulan dan Kerajaan sudah berjanji akan melakukan sesuatu untuk menstabilkan harga, apa yang rakyat dapat adalah pengumuman kerajaan untuk menjalankan kajian demi kajian.
Saya menyeru semua kementerian dan agensi yang berkenaan agar segera menjalankan siasatan dan turun padang menjalankan operasi untuk membendung masalah kenaikan harga barang makanan mentah yang semakin tidak munasabah dan membebankan ini.
Saya juga mohon agar bantuan kerajaan kepada rakyat diperluaskan. Dalam keadaan sebegini setiap satu rakyat di negara ini menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan, tidak kira sama ada mereka sudah berkahwin atau masih bujang.
Bantuan juga perlu diperluaskan lagi untuk golongan M40 kerana taraf kehidupan mereka kini sudah merundum jatuh.
Kerajaan sekarang membawa mesej kerajaan Keluarga Malaysia. Namun kenapa di bawah pentadbiran kerajaan ini, keluarganya iaitu rakyat semakin hidup tertekan dan tersepit.
Saya berharap agar kemelut kenaikan harga barangan dapat diselesaikan sebelum perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina menjelang. – 24 November, 2021.
* Young Syefura Othman, Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang Kawasan Ketari
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen