PEMANTAU hak asasi manusia (HRW) mendakwa Belarus dan Poland melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang serius dalam menangani isu pendatang haram di sempadan negara berkenaan.
Kumpulan itu dalam satu laporan berkata kerajaan dua negara itu bertanggungjawab untuk mencegah lebih banyak kes kematian dengan memastikan akses kemanusiaan kepada individu yang terperangkap di sempadan.
Penyelidik HRW berkata mereka menemubual 19 individu dan sebahagiannya mendakwa mereka kadang-kala ditolak dengan ganas oleh pengawal sempadan Poland.
“Ia melanggar hak suaka di bawah undang-undang Kesatuan Eropah (EU) dan kesatuan itu perlu menunjukkan solidariti terhadap mangsa yang menderita dan mati di kedua-dua sempadan,” kata kumpulan itu.
Mengenai Belarus, HRW berkata layanan ganas, paksaan tidak berperikemanusiaan dan merendahkan maruah yang dilakukan pengawal sempadan negara itu menjadi amalan biasa.
Katanya, layanan itu dalam beberapa kes adalah satu penyeksaan yang melanggar kewajipan terhadap undang-undang antarabangsa Belarus.
EU dan Amerika Syarikat (AS) menuduh Belarus mencetuskan krisis sebagai tindak balas terhadap sekatan EU terhadap Presiden Alexander Lukashenko yang menjatuhkan pembangkang serta media bebas selama tiga dekad kekuasaannya.
Lukashenko memberitahu BBC kemungkinan pengawal sempadannya membantu pendatang haram menyeberang namun menafikan mereka dibawa ke Belarus dan menggesa EU menerima migran berkenaan.
Belarus menganggarkan kira-kira 7,000 pendatang tanpa izin berada di negara itu.
“Ketika Belarus mencetuskan situasi ini tanpa mengambil kira kesan kemanusiaan, Poland pula berkongsi tanggungjawab dalam penderitaan di sempadan,” kata penyelidik kanan Eropah dan Asia Tengah di HRW Lydia Gall dalam satu kenyataan.
Laporan itu juga mendedahkan tiga individu mendakwa pengawal sempadan Poland memisahkan keluarga termasuk ibu bapa dengan anak dengan membawa mereka ke hospital tetapi menghantar ahli keluarga lain pulang ke Belarus. – AFP, 24 November, 2021.
Komen