Mahkamah Rayuan tolak permohonan Najib tangguh keputusan


Mahkamah tolak permohonan Najib Razak tangguh seminggu keputusan rayuannya terhadap sabitan bersalah dan hukuman penyelewengan RM42 juta duit SRC International Sdn Bhd. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2021.

MAHKAMAH Rayuan menolak permohonan Najib Razak menangguhkan untuk seminggu keputusan rayuannya terhadap sabitan bersalah dan hukuman penyelewengan RM42 juta duit SRC International Sdn Bhd.

Penolakan itu dimaklumkan hari ini melalui sepucuk surat timbalan pendaftar Mohd Khairi Haron kepada peguam Najib.

“Sila hadir ke mahkamah pada tarikh berkenaan,” kata surat itu, merujuk tarikh 8 Disember yang ditetapkan semalam.

Semalam, pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan Mahkamah Rayuan akan bersidang 8 Disember untuk memberikan keputusan terhadap tiga  rayuan Najib.

Najib kemudian memohon tarikh berkenaan dianjak antara 13 hingga 17 Disember kerana beliau menjalani kuarantin wajib tujuh hari pada masa itu.

Najib akan ke Singapura sehingga 5 Disember ini, untuk menziarah anak perempuannya yang bersalin baru-baru ini.

Dalam dokumen permohonannya, peguambela Najib memberitahu pihak pendakwa raya tidak membantah tarikh baharu yang diminta.

Mereka juga memberitahu mahkamah pada 8 Disember peguam yang mewakili Najib, Muhammad Shafee Abdullah mempunyai satu perbicaraan kes pengubahan wang haram yang dihadapinya sendiri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib juga pada hari sama mempunyai perbicaraan kes dana 1MDB di Mahkamah Tinggi.

Najib, 68, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai, 2020 yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bersabit tujuh pertuduhan melibatkan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Rayuan Najib yang keputusannya akan diketahui 8 Disember ini asalnya ditangguhkan selepas panel tiga hakim mendengar hujah peguambela dan pendakwaraya pada 18 Mei, 2021. – 24 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen