Biden pelawa 110 negara ke sidang kemuncak demokrasi


Presiden Joe Biden pelawa pemimpin 110 negara ke sidang kemuncak mengenai demokrasi yang diadakan secara maya bulan depan. – Gambar EPA, 24 November, 2021.

PRESIDEN Joe Biden mempelawa pemimpin kira-kira 110 negara ke sidang kemuncak mengenai demokrasi yang diadakan secara maya bulan depan termasuk sekutu utama barat selain Iraq, India dan Pakistan.

Menurut senarai disiarkan di laman web Jabatan Negara, China, saingan utama Amerika Syarikat (AS) tidak dipelawa, berbeza dengan Taiwan di mana tindakan itu disifatkan berisiko menimbulkan kemarahan Beijing.

Turki yang juga sama seperti AS sebagai ahli Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tiada dalam senarai peserta.

Dalam kalangan negara Asia Barat, hanya Israel dan Iraq akan menyertai persidangan dalam talian, yang dijadualkan pada 9 hingga 10 Disember.

Sekutu tradisional Arab AS iaitu Mesir, Arab Saudi, Jordan, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu tidak dipelawa.

Biden mempelawa Brazil walaupun Presiden Jair Bolsonaro dikritik kerana bersikap autoritarian dan penyokong kuat Donald Trump.

Di Eropah, Poland dipelawa ke sidang kemuncak itu walaupun ketegangan berterusan dengan Kesatuan Eropah berhubung rekod hak asasi manusia negara itu, manakala Hungary diketuai Perdana Menteri Viktor Orban, tidak dipelawa.

Di Afrika, Republik Demokratik Congo, Afrika Selatan, Nigeria dan Niger antara negara dalam senarai.

Ketika mengumumkan sidang kemuncak itu pada Ogos, White House berkata mesyuarat itu akan meningkatkan komitmen dan inisiatif merentasi tiga tema utama iaitu pertahanan daripada autoritarianisme, memerangi rasuah dan mempromosikan penghormatan terhadap hak asasi manusia. – AFP, 24 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen