Apple saman pembuat perisian pengintip Israel


Terdapat kira-kira 1.65 bilion peranti Apple aktif di seluruh dunia, termasuk lebih 1 bilion iPhone. – Gambar EPA, 24 November, 2021.

APPLE pada Selasa memfailkan saman kepada pembuat perisian pengintip Israel di tengah-tengah skandal pemantauan Pegasus, bagi menghalang NSO Group mensasarkan lebih 1 bilion pengguna iPhone.

Saman daripada syarikat gergasi Silicon Valley itu menambahkan lagi masalah dihadapi oleh NSO, yang diselubungi kontroversi berhubung laporan puluhan ribu aktivis, wartawan dan ahli politik disenaraikan sebagai sasaran berpotensi perisian pengintipannya, Pegasus.

Pihak berkuasa AS beberapa minggu lalu menyenaraihitamkan NSO.

“Bagi mengelakkan penyalahgunaan dan kemudaratan selanjutnya kepada penggunanya, Apple juga memohon injunksi kekal untuk melarang NSO Group daripada menggunakan sebarang perisian, perkhidmatan atau peranti Apple,” kata Apple dalam satu kenyataan mengumumkan saman mahkamah yang difailkan di Mahkamah Persekutuan AS di California.

“Defendan adalah penggodam terkenal - tentera upahan abad ke-21 tidak bermoral yang mencipta jentera pengawasan siber sangat canggih yang mengundang penyalahgunaan secara rutin dan jelas,” tulis pengeluar iPhone dalam kesnya.

NSO secara konsisten menafikan sebarang salah laku dan menegaskan perisiannya bertujuan untuk digunakan oleh pihak berkuasa sahaja dalam memerangi keganasan dan jenayah lain.

“Pedofil dan pengganas boleh bebas beroperasi di tempat perlindungan teknologi, dan kami menyediakan kerajaan alat yang sah untuk memeranginya. NSO Group akan terus menyokong kebenaran,” kata firma itu dalam satu kenyataan kepada AFP.

Telefon pintar yang dijangkiti Pegasus akan menjadi peranti intipan poket, membolehkan ia membaca mesej sasaran, melihat foto, menjejaki lokasi mereka dan juga menghidupkan kamera tanpa mereka tahu.

Apple berkata terdapat 1.65 bilion peranti Apple aktif di seluruh dunia, termasuk lebih 1 bilion iPhone.

Saman daripada Apple bukanlah yang pertama kerana ia pernah disaman Facebook pada 2019, mendakwa ia menggunakan aplikasi permesejan WhatsApp untuk menjalankan pengintipan siber terhadap wartawan, aktivis hak asasi manusia dan lain-lain.

Saman yang difailkan di Mahkamah Persekutuan California, mendakwa kira-kira 1,400 peranti disasarkan dengan perisian pengintipan untuk mencuri maklumat berharga daripada mereka yang menggunakan aplikasi pemesejan.

“Ini bukan berita baik untuk NSO, yang dilaporkan dalam bahaya dengan hutang lebih AS$500 juta, perubahan kepimpinan baru-baru ini dengan CEO mereka, dan Perancis menarik diri daripada pembelian yang dirancang selepas sekatan AS,” kata Jake Williams daripada firma keselamatan siber BreachQuest.

Berikutan kebimbangan awal terhadap Pegasus, gelombang berikutnya muncul apabila Apple mengemaskini perisian produknya pada September untuk mengatasi kelemahan yang membolehkan perisian pengintip NSO menjangkiti peranti tanpa pengguna mengklik pada mesej atau pautan.

Serangan yang dipanggil “sifar klik” itu mampu merosakkan peranti yang disasarkan secara senyap, dan dikenal pasti oleh penyelidik di Citizen Lab, sebuah organisasi pemerhati keselamatan siber di Kanada.

Apple berkata pada Selasa ia memberitahu “sebilangan kecil” pengguna yang ditemuinya mungkin menjadi sasaran serangan tersebut.

“Firma pengintip upahan seperti NSO Group memudahkan beberapa pelanggaran hak asasi manusia yang paling teruk di dunia dan tindakan penindasan transnasional, sambil memperkayakan diri mereka dan pelabur,” kata pengarah Citizen Lab Ron Deibert. – AFP, 24 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen