RAKYAT Malaysia semakin gemuk dan menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan penyakit kardiovaskular, kata pakar kesihatan memberi amaran.
Mereka berkata peningkatan obesiti di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak menjadi punca semakin ramai rakyat Malaysia yang menghidap diabetes dan penyakit lain berkaitan dalam sedekad yang lalu.
Ia seterusnya membawa kepada NCD lain seperti masalah jantung dan buah pinggang. Ditambah pula dengan gaya hidup tidak aktif dan tabiat pemakanan tidak sihat, risiko mendapat penyakit ini meningkat.
Dr Danish Ng Ooi Yee, pakar endokrinologi dari Pusat Perubatan Prince Court, berkata kira-kira 50% penduduk Malaysia mengalami obesiti dan berisiko dijangkiti penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, penyakit jantung dan buah pinggang.
“Kita mempunyai populasi sangat besar yang berlebihan berat badan atau obes dan berisiko tinggi dijangkiti NCD,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Gaya hidup mereka - kurang bersenam dan pengambilan makanan tinggi lemak, kolesterol dan gula - juga merupakan faktor penyumbang.”
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati satu daripada dua orang dewasa mengalami berat badan berlebihan atau obes. Wanita membentuk majoriti bilangan dengan 54.7%.
Berat badan berlebihan merujuk kepada seseorang yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) lebih 25. Seseorang yang obes mempunyai BMI lebih daripada 30.
Berat badan berlebihan atau obes lebih lazim di kalangan etnik India (63.9%) dan mereka yang berumur antara 55 hingga 59 (60.9%).
Tinjauan itu juga mendapati satu daripada dua orang dewasa di Malaysia mengalami obesiti perut. Bagi wanita, ini bermakna mereka mempunyai lilitan pinggang melebihi 80cm. Bagi lelaki pula 90cm.
Obesiti perut paling kerap berlaku pada wanita (64.8%), etnik India (68.3%) dan mereka yang berumur 60 hingga 64 (71.5%).
KKM berkata berat badan berlebihan dan obesiti perut sebagai punca utama diabetes, darah tinggi dan penyakit jantung di kalangan rakyat Malaysia.
Laporan KKM juga mendapati 1.7 juta penduduk Malaysia kini hidup dengan tiga faktor risiko - diabetes, kolesterol tinggi dan hipertensi. Sementara, 3.4 juta lagi mempunyai sekurang-kurangnya dua faktor risiko.
Semua ini menjurus kepada penyakit kardiovaskular di Malaysia, yang menurut KKM sebagai punca utama kematian di negara ini.
Peningkatan diabetes
Penduduk kurang aktif yang mengalami obesiti, ditambah pula dengan hakikat Malaysia adalah masyarakat yang semakin tua, juga meningkatkan risiko diabetes, kata Ng.
KKM mengesyorkan 150 minit aktiviti fizikal berintensiti sederhana dalam seminggu untuk orang dewasa berumur antara 18 dan 64 tahun.
“Pada usia lebih 60 tahun, prevalens di Malaysia ialah empat daripada 10 orang (yang akan menghidap diabetes). Jika kita mempunyai populasi semakin tua, jumlah ini akan meningkat,” katanya.
Walaupun orang tua lebih terdedah kepada diabetes, Ng berkata beliau melihat semakin ramai kanak-kanak menghidap diabetes Jenis 2.
“Mereka semakin gemuk akibat obesiti zaman kanak-kanak. Apabila ibu menghidap diabetes semasa hamil, ini juga boleh menjadi faktor.
“Kebanyakan daripada mereka menghidap diabetes apabila memasuki akil baligh. Ini adalah apabila mereka lebih tahan insulin.”
Laporan NHMS menunjukkan satu daripada lima orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes.
Prevalens diabetes di kalangan orang dewasa Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas meningkat daripada 11.2% pada 2011 kepada 13.4% pada 2015. Pada 2019, angka itu ialah 18.3% atau 3.9 juta daripada populasi dewasa.
Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia menunjukkan kira-kira 422 juta orang di seluruh dunia menghidap diabetes, majoriti tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana, dan 1.5 juta kematian dikaitkan secara langsung dengan diabetes setiap tahun.
Tinjauan itu juga mendapati pengambilan gula rakyat Malaysia daripada minuman manis.
Kira-kira 53.2% berkata pengambilan gula mereka daripada minuman yang disediakan sendiri seperti kopi, teh atau minuman malt. Kira-kira 4.2% datang daripada minuman berkarbonat dan bukan berkarbonat setiap hari manakala 6.7% berkata minuman pracampuran menyumbang kepada pengambilan harian minuman manis mereka. – 24 November, 2021.
Berita penuh di sini
Komen