Pimpinan Pakatan bantah untuk calon bekas wakil rakyat Umno di Melaka, kata Anwar


Alfian Z.M. Tahir

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata pimpinan PH dipujuk oleh pemimpin PH Melaka untuk menerima dua wakil rakyat Umno pada pilihan raya negeri itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2021.

KEPIMPINAN Pakatan Harapan (PH) menentang tindakan menerima Idris Haron dan Nor Azman Hassan sebagai calon pilihan raya gabungan itu untuk pilihan raya Melaka tetapi mengalah selepas dipujuk pemimpin PH Melaka, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR berkata dua nama itu dibawa ke pimpinan tertinggi oleh pemimpin PH Melaka.

“DAP menolak, saya menentang dan Mat Sabu (Presiden Amanah) juga tidak bersetuju.

“Namun selepas beberapa siri mesyuarat, kami dipujuk untuk menerima Idris dan Nor Azman.

“Kini kami akan membentuk jawatankuasa bebas untuk meneliti perkara ini,” kata Anwar.

Pilihan raya negeri Melaka diadakan selepas empat ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) - Idris (Sungai Udang), Nor Azman (Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) - menarik sokongan mereka kepada ketua menteri Sulaiman Md Ali.

Pada pilihan raya itu, Barisan Nasional berjaya meraih majoriti dua pertiga selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi negeri.

PH turut bertanding di kesemua 28 kerusi yang mana PKR meletakkan calon di 11 kerusi, Amanah (9) dan DAP (8). PKR kalah pada semua kerusi kepada BN.

PH memenangi lima kerusi dengan DAP empat dan Amanah satu.

Antara nama besar PKR yang tewas adalah ketua penenerangannya Shamsul Iskandar di Paya Rumput dan bekas ketua menteri Melaka Idris Haron di Asahan.

Berikutan kekalahan besar itu, Anwar dikritik kerana menerima dua ahli Umno malah turut diminta berundur sebagai ketua pembangkang.

Anwar berkata gesaan untuk meletak jawatan itu hanyalah pendapat dan beliau mengingatkan ahli gabungan PH supaya lebih menghormati.

“Kita tidak boleh terlalu angkuh. Apa yang diperkatakan kepada saya, saya ambil ia sebagai pendapat.

“Namun, kita kena lihat pelbagai faktor. Kita kena lihat fakta yang dalam hal ini, kita di peringkat kepimpinan PH dipujuk oleh bahagian negeri untuk menerima Idris dan Nor Azman,” katanya.

Lim Kit Siang dan Hanipa Maidin mempertahankan ahli Parlimen Port Dickson dengan mengatakan bukan salah Anwar PH kalah di Melaka. – 23 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen