KPM nafi keluar senarai hukuman dilarang ke atas murid


KPM menegaskan tatacara pengurusan disiplin murid adalah berdasarkan garis panduan dan Surat Pekeliling Ikhtisas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2021.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tidak pernah mengeluarkan jadual yang bertajuk “Unit Disiplin KPM: Bentuk-bentuk Hukuman Yang Dilarang” seperti yang tular di media sosial.

KPM dalam satu kenyataan menegaskan tatacara pengurusan disiplin murid adalah berdasarkan garis panduan dan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI).

Menurut kenyataan itu, tatacara pengurusan disiplin yang dikeluarkan oleh KPM adalah Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Sekolah) 1959 dan SPI Bil. 8/1983: Mengenakan Hukuman Biasa terhadap Murid-murid yang Melakukan Perbuatan Salah Laku Yang Tidak Dinyatakan Dalam Peraturan-peraturan Pelajaran.

Kenyataan itu turut menggariskan SPI Bil. 7/1995: Tatacara Mengenakan Tindakan dan Hukuman Terhadap Pelajar-pelajar Sekolah; SPI Bil. 10/2001: Semua Guru Adalah Guru Disiplin; SPI Bil. 7/2003: Kuasa Guru Merotan Murid dan SPI Bil. 7 Tahun 2011: Pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) 1:3:7 Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin.

“KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan KPM itu merujuk kepada kenyataan di portal media bertarikh 21 November lepas bertajuk “Gempar!!! Bermula esok, guru boleh dihukum sekiranya berleter terhadap murid.” – Bernama, 23 November, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen