KM Sarawak elak jawab 3 kerusi dipertikai dalam GPS


Desmond Davidson

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg setakat ini berjaya mengelak soalan tentang kerusi di Opar, Mambong dan Bawang Assan selepas timbul desas-desus beliau sedang mengintai kerusi yang merupakan milik Parti Bersatu Rakyat Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2021.

TIGA kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak nanti dikatakan bakal mengundang masalah buat Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah.

Kerusi tersebut merupakan kerusi majoriti Dayak di Opar dan Mambong di Kuching serta kerusi majoriti Cina di Bawang Assan di Sibu.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg setakat ini berjaya mengelak soalan tentang tiga kerusi itu dengan desas-desus beliau sedang mengintai kerusi yang merupakan milik Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) itu.

Apabila ditanya parti mana yang akan bertanding, Abang Johari memberi jawapan samar, mengaitkan beberapa masalah di penyandang kerusi itu dengan “masalah personaliti”.

Abang Johari berkata GPS “akan membuat keputusan selepas berunding”.

Tambahnya, GPS tidak tergesa-gesa kerana Suruhanjaya Pilihan Raya masih belum tetapkan tarikh PRN.

SPR akan bermesyuarat di Kuching esok bagi menentukan tarikh PRN.

Penyandang Opar, Ranum Mina, memegang kerusi itu tiga penggal sejak 2006.

Bekas pegawai tentera itu pertama kali bertanding atas tiket Barisan Nasional–SUPP ketika itu.

Beliau mempertahankannya sekali lagi atas tiket BN–SUPP pada pilihan raya 2011, namun pada 2014, beliau berpaling tadah kepada parti kecil bernama Teras.

Bagaimanapun jodohnya dengan Teras tidak lama, sebelum menyertai Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang ditubuhkan Wong Soon Koh selepas ramai ahli SUPP sama ada dipecat atau terpaksa berundur kerana menyokong Wong.

UPP pada Disember 2018 menukar namanya kepada Parti Sarawak Bersatu.

Dalam PRN 2016, Ranum, mempertahankan kerusinya sebagai calon langsung BN.

Tetapi apabila PSB ditendang dan dilucutkan statusnya sebagai parti mesra GPS, kerusi itu sepatutnya secara automatik dikembalikan kepada SUPP.

Ceritanya sama bagi kerusi Mambong, walaupun dalam kes ini, penyandangnya, bekas timbalan presiden PSB, berpaling tadah ke PBB.

Beliau mahu membawa kerusinya itu walaupun melanggar perjanjian peruntukan kerusi. – 23 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen