LTAT ambil alih syarikat konsesi AES sebagai penyelamat, kata PAC


Chan Kok Leong

PENGAMBILALIHAN Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada 2015 adalah sebagai penyelamat, kata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Lebih-lebih lagi, harga pengambilalihan RM555 juta yang dibayar oleh LTAT sudah terlebih nilai dan keterlaluan kerana KPMG sudah menilai pengambilalihan itu tidak lebih daripada RM251 juta, kata PAC.

PAC yang mula menyiasat projek AES tahun lepas membentangkan laporannya mengenai projek AES di Parlimen hari ini.

Menurut jawatankuasa pilihan itu, Kementerian Pengangkutan sepatutnya tidak menyumberluar projek AES kepada A.T.E.S Sdn Bhd (ATES) dan Beta Tegap Sdn Bhd (Beta Tegap) pada 2011.

“Malah kementerian mengabaikan jawatankuasa projek ATES (yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara ketika itu Mohd Sidek Hassan) berpendapat kerajaan perlu mengendalikan projek AES melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Selain itu syarat perjanjian konsesi dan yuran tidak menguntungkan kerajaan,” kata PAC dalam laporannya. 

Jawatankuasa projek ATES dipengerusikan oleh ketua setiausaha ketika itu Mohd Sidek Hassan.

PAC menyarankan kerajaan menyahklasifikasi fail siasatan mengenai AES dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula kes itu untuk melihat sama ada sogokan dibayar dalam pemberian kontrak.

Pada 2005, kerajaan memutuskan untuk menggunakan sistem pengawasan kamera automatik untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya.

Sistem AES bertujuan mengesan pemandu yang melanggar had laju dan melanggar lampu isyarat.

Bagaimanapun daripada melaksanakannya sendiri, pada 2011 Kementerian Pengangkutan melantik ATES dan Beta Tegap untuk memasang 1,093 unit kamera pengawasan di negara ini.

ATES dianugerahkan kontrak RM295 juta untuk 543 kamera manakala Beta Tegap akan memasang 550 unit dengan harga RM260 juta.

Tetapi disebabkan tekanan orang ramai terhadap penswastaan projek itu, kerajaan mengarahkan LTAT mengambil alih kedua-dua syarikat itu dengan harga RM555 juta pada 2015. – 23 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen