CALON presiden Filipina Manny Pacquiao berkata beliau naif dan jahil tentang undang-undang apabila mengambil dadah jenis syabu pada masa mudanya, namun berpendapat pesalah hari ini tahu dadah adalah haram dan perlu dihukum.
Pacquiao, bekas juara peninju dunia bersara, beliau pernah menyokong perang kejam Presiden Rodrigo Duterte terhadap dadah yang telah membunuh beribu-ribu rakyat sendiri.
Namun menjelang pilihan raya 2022, Pacquiao berusaha menjauhkan diri daripada Duterte yang akan bersara dan berhadapan siasatan antarabangsa terhadap tindakan kejamnya terhadap rakyat sendiri.
Pacquiao berkata pesalah sepatutnya diberi “peluang untuk mempertahankan diri”.
“Kita perlu penjarakan mereka yang guna dan jual dadah. Itulah yang dikatakan sebagai undang-undang,” katanya kepada AFP, berikrar meneruskan kempen antidadah “dengan cara yang betul”.
“Sebelum ini, saya naif, sebab itu saya guna dadah… saya tidak tahu undang-undang,” kata Pacquiao, 42, yang kini memegang kerusi di Dewan Negara dan sebelum ini berkhidmat dua penggal di Kongres.
Pada masa kini, “orang ramai sudah tahu undang-undang tidak halalkan dadah.”
Pacquiao mengejutkan dunia sukan pada 2016 apabila mengaku pernah menggunakan ganja dan syabu, nama tempatan untuk methamphetamine yang murah dan sangat ketagihan, semasa remaja. – AFP, 23 November, 2021.
Komen