Saya akan terus bersuara, kata aktivis 


Noel Achariam

Aktivis Sarajun Hoda Abdul Hassan ditahan berhubung satu posting mengenai isu tauliah untuk menyampaikan ceramah agama di masjid oleh jabatan agama negeri yang dimuat naik di Facebooknya pada Julai tahun lalu.– Gambar The Malaysian Insight, 30 Januari, 2018. 

WALAUPUN ditahan malam tadi, aktivis sosial Sarajun Hoda Abdul Hassan akan terus bersuara mengenai isu kritikal, namun dengan perkataan yang lebih baik.

Ahli Aliran dan bekas timbalan pengerusi Bersih itu ditahan di rumahnya malam tadi berhubung satu posting di Facebook yang dimuat naik olehnya pada Julai tahun lalu. 

Dia bagaimanapun dibebaskan tengah malam tadi selepas kenyataannya dirakamkan di IPD Dang Wangi. 

Bercakap kepada The Malaysian Insight di sebuah restoran di Klang hari ini, Sarajun berkata posting “menyinggung” itu adalah berkenaan isu tauliah, di mana pemimpin agama atau mufti perlu mendapatkan kelulusan jabatan agama negeri sebelum menyampaikan ceramah di masjid. 

“Ilmuan Islam antarabangsa turut dijauhkan daripada masjid kerana mereka tidak mendapat tauliah. 

“Isu tauliah bukan islamik. Ia adalah politik,” kata aktivis berusia 61 tahun itu.

Sarajun berkata, dia kemudiannya memadam posting berkenaan tiga bulan selepas itu setelah dinasihatkan oleh peguam dan rakan-rakannya.

Tetapi sebelum itu, laporan polis sudah dibuat terhadapnya di Putrajaya. 

“Polis datang mencari saya pada November dan Disember tahun lalu tetapi saya berada di luar negara, bercuti. Saya kembali pada 12 Januari dan polis menahan saya semalam,” katanya. 

Dia ditahan atas dakwaan menyakiti perasaan orang berlainan agama di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sarajun berkata, dia hanya menyuarakan pandangannya ke atas apa yang berlaku dalam negara ini dan apa yang memberi kesan terhadap rakyat Malaysia. 

“Aduan terhadap saya adalah kecil. Pemahaman mereka mengenai Islam adalah cetek kerana mereka tidak membaca Quran,” katanya.

Menurutnya Malaysia kini berada dalam keadaan yang mengerikan dari segi perpaduan sosial, hubungan kaum dan tokoh agama.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya sepatutnya bersuasa terhadap mereka yang membuat kenyataan tidak kondusif kepada keadaan negara seperti wakil yang dipilih,” kata Sarajun.

“Sya akan terus menulis, tetapi saya kena fikirkan pilihan perkataan.”

Sarajun menjadi aktivis selama 40 tahun dan merupakan ahli Aliran Kesedaran Negara (Aliran) yang ditubuhkan pada 1977. 

Aliran merupakan gerakan perubahan pelbagai kaum yang didedikasikan untuk keadilan, kebebasan dan solidariti. 

Tersenarai dalam jadual Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak 1987, aktiviti utama Aliran ialah menerbitkan Aliran Bulanan, yang berkala untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu hak asasi manusia tempatan. – 30 Januari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen