Khairuddin, Nik Abduh dilantik semula ke J/kuasa PAS Pusat


Nik Mohamad Abduh Abdul Aziz yang kalah pemilihan parti awal bulan ini dilantik semula sebagai ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2021.

PAS melantik semula Mohd Khairuddin Aman Razali dan Nik Mohamad Abduh Abdul Aziz yang kalah pemilihan parti awal bulan ini sebagai ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, umum setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang kalah pemilihan jawatan naib presiden di Muktamar Tahunan PAS ke-67 lalu juga dilantik sebagai ahli jawatankuasa pusat.

Pelantikan itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang dipengerusikan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam, katanya.

Pemilihan barisan kepimpinan PAS bagi penggal 2021-2023 yang lalu menyaksikan beberapa pemimpin kanan tersingkir.

Kebanyakannya mereka yang dilihat cenderung kepada kerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN) berbanding bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Gelombang penolakan ahli PAS kepada kecenderungan itu dilihat berlaku tidak hanya semasa pemilihan jawatan peringkat pusat tetapi juga di peringkat kawasan.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat semalam turut mengangkat Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim yang juga Ahli Parlimen Pendang sebagai ahli jawatankuasa lantikan.

Pemimpin kanan lain yang dilantik ialah Misbahul Munir Masduki, Mohd Yusni Mat Piah, Mohd Mazri Yahya, Wan Rohimi Wan Daud dan Hakeem Johari.

PAS juga melakukan beberapa rombakan kepimpinan negeri, antaranya menamakan Ketua Dewan Ulama Pas Melaka, Zulkifli Ismail sebagai pesuruhjaya negeri yang baharu menggantikan Kamarudin Sedik.

Kamarudin adalah calon Perikatan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Duyong pada pilihan raya negeri Melaka hujung minggu lalu.

Sementara itu, Takiyuddin juga mengumumkan bekas ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin sebagai ketua penerangan Kamaruzaman Mohamad yang memegang jawatan itu sejak 2019.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata PAS akan mengadakan program khas memperingati ulang tahun penubuhan parti yang ke-70 di Kuala Terengganu pada 12 Disember ini. – 23 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen