Suntikan Pfizer 100% berkesan kepada remaja selepas 4 bulan


Vaksin Pfizer dikatakan kekal 100% berkesan pada remaja berusia 12 hingga 15 tahun empat bulan selepas dos kedua. – Gambar EPA, 23 November, 2021.

PFIZER dan BioNTech semalam berkata vaksin Covid-19 keluaran mereka kekal 100% berkesan pada remaja berusia 12 hingga 15 tahun empat bulan selepas dos kedua,

Syarikat itu berkata data baharu itu yang melibatkan 2,228 peserta percubaan akan membantu menyokong permohonan mereka untuk kelulusan penuh di Amerika Syarikat dan seluruh dunia.

Tiada kebimbangan keselamatan yang serius dilihat pada individu yang mempunyai sekurang-kurangnya enam bulan susulan selepas dos kedua.

“Memandangkan komuniti kesihatan global berusaha untuk meningkatkan bilangan mereka yang divaksinasi seluruh dunia, data tambahan ini memberikan keyakinan lanjut terhadap profil keselamatan dan keberkesanan vaksin kami dalam kalangan remaja

“Ini amat penting kerana kami melihat kadar kenaikan kes Covid-19 dalam kumpulan umur ini di beberapa wilayah sementara pengambilan vaksin yang perlahan. Kami berharap untuk berkongsi data ini dengan FDA dan pengawal selia lain,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer Albert Bourla dalam satu kenyataan.

Vaksin itu diberikan kebenaran untuk penggunaan kecemasan kepada remaja oleh AS pada Mei dan syarikat itu merancang untuk mendapatkan kelulusan penuh tidak lama lagi. Vaksin pada masa ini hanya diluluskan sepenuhnya pada mereka yang berusia 16 tahun ke atas.

Di antara 2,228 peserta terdapat 30 kes Covid-10 bergejala yang disahkan tanpa bukti jangkitan sebelumnya.

Ini sepadan dengan keberkesanan vaksin sebanyak 100%. Keberkesanan adalah tinggi secara konsisten merentas jantina, kaum, tahap obesiti dan status komorbiditi.

Kebimbangan keselamatan utama dalam kumpulan umur ini ialah keradangan jantung terhadap penerima lelaki.

Tetapi kes sedemikian sangat jarang berlaku dan data menunjukkan faedah vaksinasi terus melebihi risiko. Covid-19 itu sendiri boleh menyebabkan keradangan jantung. – AFP, 23 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen