JALAN raya dan landasan keretapi utama antara Vancouver dan seluruh Kanada yang terputus akibat banjir dan tanah runtuh kebanyakannya dapat beroperasi semula semalam, kata pihak berkuasa.
Hujan lebat minggu lalu hingga menyebabkan banjir dan tanah runtuh merosakkan jalan dan jambatan serta memaksa ribuan penduduk berpindah dan sekurang-kurangnya empat maut, manakala seorang hilang.
Air Canada juga meningkatkan kapasiti kargonya keluar masuk ke bandar pantai Pasifik sejak Ahad bagi mengurangkan gangguan rantaian bekalan lebih besar.
Air Canada menggunakan semula 28 penerbangan penumpang untuk membawa kargo sebagai tambahan kepada 13 penerbangan kargo bagi memindahkan barang mudah rosak seperti makanan laut serta alat ganti automotif dan barangan industri lain.
“Kapasiti (kargo) tambahan setara dengan berat kira-kira 586 tan,” menurut syarikat penerbangan itu dalam kenyataan.
Keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa terpaksa membuat catuan bahan bakar dan menggesa penduduk tidak menyimpan stok makanan ketika wilayah itu bergelut dengan masalah bekalan.
Menteri Pengangkutan British Columbia Rob Fleming berkata barang dan perkhidmatan penting kini beroperasi semula.
Sementara itu, Menteri Keselamatan Awam Mike Farnworth berkata hujan lebat dan ribut dijangka melanda lagi dalam beberapa minggu akan datang.
Dua daripada tiga lebuh raya ke Vancouver dibuka semula untuk perjalanan penting, tetapi lebuh raya utama Trans-Kanada di timur bandar berhampiran Chilliwack masih ditenggelami banjir.
Canadian Pacific dijangka membuka semula laluan landasan utamanya antara Vancouver dan Kamloops hari ini. – AFP, 23 November, 2021.
Komen