Perancis mungkin beri dos penggalak Covid-19 untuk semua umur


Perancis melaksanakan vaksinasi paling ketat di Eropah, dengan pas diperlukan untuk menaiki kereta api antara bandar, melawat muzium dan ke gimnasium. – Gambar EPA, 23 November, 2021.

DUA badan penasihat kerajaan Perancis berkenaan pengendalian krisis Covid-19 mengesyorkan suntikan dos penggalak diberikan kepada semua peringkat umur dewasa.

Ketika ini, negara itu hanya menawarkan suntikan penggalak kepada individu lebih 65 tahun atau mereka yang menghidapi penyakit kronik yang menyebabkan terdedah kepada virus serta petugas kesihatan.

Mulai 1 Disember, suntikan itu akan diperluaskan kepada individu berusia lebih 50 tahun.

Majlis Orientasi Strategi Vaksin (COSV) diketuai ahli imunologi Alain Fischer mengesyorkan suntikan tambahan untuk semua bagi memulihkan keberkesanan vaksin ke tahap membolehkan epidemik dikawal.

Saranan itu mendapat sokongan Majlis Saintifik Covid-19 diketuai pakar penyakit berjangkit Jean-Francois Delfraissy, dalam kenyataan berasingan.

Cadangan itu dibuat ketika beberapa negara Eropah dan kepulauan Caribbean Perancis cuba untuk meleraikan tunjuk perasaan berhubung sekatan dilaksanakan bertujuan membendung peningkatan jangkitan baharu.

Minggu lalu Presiden Emmanuel Macron dilaporkan berkata beliau tidak akan terkejut jika Perancis, seperti mana negara Eropah lain sedang memerangi gelombang baharu jangkitan, akhirnya menawarkan dos penggalak kepada penerima dewasa,

“Secara logiknya itulah langkah seterusnya,” katanya.

Menteri Kesihatan Olivier Veran minggu lalu berkata kerajaan akan mempertimbangkan pemberian dos penggalak kepada individu berusia lebih 40 tahun.

Ketika Austria dan Belanda mengenakan semula separa sekatan dan Belgium mengetatkan peraturan vaksin, Perancis bersiap sedia untuk mengenakan sekatan baharu.

Awal bulan ini, Macron mengumumkan mulai pertengahan Disember individu berusia lebih 65 tahun perlu mendapatkan suntikan penggalak jika mahu terus menggunakan pas vaksin untuk masuk ke bar, restoran, pawagam dan tempat awam lain.

Perancis melaksanakan vaksinasi paling ketat di Eropah, dengan pas diperlukan untuk menaiki kereta api antara bandar, melawat muzium dan ke gimnasium. – AFP, 23 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen