Gunung berapi meletus, penduduk Pulau La Palma diarah duduk rumah


Cairan lahar gunung berapi Cumbre Vieja meliputi 1,065 hektar kawasan dan memusnahkan hampir 1,500 bangunan termasuk sekolah, gereja, pusat kesihatan dan ratusan rumah. – Gambar EPA, 23 November, 2021.

KIRA-KIRA 3,000 penduduk di Pulau La Palma, Sepanyol diarahkan tidak keluar rumah susulan lahar gunung berapi kini tiba di laut dan berisiko melepaskan gas beracun.

Agensi Kecemasan Gunung Berapi Kepulauan Canary (Pevolca) turut mengarahkan penduduk di bandar dan kampung berhampiran di mana lahar mengalir ke laut kekal berada di dalam rumah berikutan berlaku kepulan besar asap putih ke udara.

Ini kali ketiga aliran lahar sampai ke Lautan Atlantik sejak gunung berapi Cumbre Vieja di selatan pulau itu meletus pada 19 September lalu menyebabkan kawasan besar diliputi abu.

Semua penerbangan keluar masuk dari lapangan terbang La Palma dibatalkan semalam berikutan debu abu yang mengganggu perjalanan udara.

Buat pertama kali sejak letusan bermula, pihak berkuasa tempatan menasihatkan penduduk bandar La Palma, Santa Cruz de La Palma untuk menggunakan pelitup muka FFP2 penapisan tinggi bagi melindungi diri mereka daripada gas dioksida dan sulfur.

Bagaimanapun, pulau yang populasi kira-kira 85,000 penduduk setakat ini tidak terjejas dengan letusan itu.

Menurut Copernicus, perkhidmatan pemantauan satelit Kesatuan Eropah, cairan lahar itu meliputi 1,065 hektar kawasan dan memusnahkan hampir 1,500 bangunan termasuk sekolah, gereja, pusat kesihatan dan ratusan rumah.

Infrastruktur pengairan untuk ladang pisang pulau itu yang menjadi sumber pekerjaan utama turut musnah.

Pulau La Palma, sebahagian kepulauan Canary di luar Afrika mengalami letusan ketiga dalam tempoh seabad dengan letusan sebelumnya pada 1949 dan 1971. – AFP, 23 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen