Kedah cuma akan galak judi dalam talian, tanpa lesen, kata pekerja pemulihan


Angie Tan

Kegiatan judi dalam talian lebih rancak sejak dua tahun kebelakangan ini berikutan sekatan pergerakan akibat pandemik Covid-19 dan dijangka lebih meruncing dengan pengharaman kedai nombor ekor di Kedah, menurut para pekerja pusat pemulihan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2021.

KEENGGANAN kerajaan negeri Kedah untuk tidak perbaharui lesen kedai nombor ekor hanya akan mengundang kebangkitan judi bawah tanah dan dalam talian, kata mereka yang terlibat dengan pemulihan ketagihan judi.

Di atas kertas, negeri PAS itu mungkin berniat capai “sifar judi”, tetapi sebenarnya ia akan berhadapan lebih banyak masalah daripada kegiatan judi haram tanpa lesen, kata mereka.

Kenyataannya, kegiatan judi tanpa lesen telah berkembang sejak lapan tahun lalu malah lebih aktif dalam dua tahun ini berikutan pandemik Covid-19 dan sekatan pergerakan, kata kaunselor pemulihan kepada The Malaysian Insight.

Kini ramai kanak-kanak berusia 15 tahun sudah jadi penjudi tegar kerana mudah dapat akses telefon bimbit pintar dan capaian Internet, tambah mereka.

Dahulu penjudi perlu ke Genting Highlands, namun kini, pertaruhan boleh dibuat hanya dengan telefon pintar, kata Choo Chee Cheong, pengarah NGA Gambling Rehab Ministry.

“Telefon mudah alih sudah menjadi kebiasaan buat golongan muda. Mereka tidak dapat hidup tanpa telefon mereka.

“Iklan untuk permainan pertaruhan dan judi dalam talian berleluasa malah iklan-iklan ini ditujukan kepada mereka.

“Lebih-lebih lagi, judi dalam talian tidak perlukan wang yang banyak untuk mula bermain. Selepas beberapa kali menang, mereka yang mencuba akan jadi lebih cepat ketagih,” kata Choo kepada The Malaysian Insight.

Choo berkata kira-kira separuh daripada jumlah kes yang datang ke pusat pemulihannya melibatkan penjudi yang berusia antara 15 hingga 20 tahun.

Beliau pernah mengendalikan kes membabitkan seorang remaja berusia 15 tahun yang menanggung hutang antara RM100,000 hingga RM300,000.

“Keluarga berjaya bayar balik satu hutang, tetapi budak lelaki itu teruskan dan pinjam jumlah yang lebih besar melalui seorang rakan. Jumlah pinjaman pada asalnya RM10,000, tetapi bayaran balik terakhir melonjak kepada lebih RM100,000.

“Ada juga mereka dalam kumpulan umur 30 hingga 50, dan mereka yang berumur lebih 60 tahun. Kebanyakan penjudi adalah lelaki.”

Tambah Choo, secara purata tahun ini, pusat pemulihannya mendapat 10 permohonan bantuan setiap bulan.

Lim Tian Jin, yang menjalankan organisasi pemulihan serupa di Johor Bahru, berkata sebelum pandemik Covid-19, kebanyakan penjudi pergi ke Genting Highlands atau kedai nombor ekor.

“Tetapi tahun ini, 80 peratus darupada penjudi beralih ke dalam talian. Kira-kira 20 peratus beli nombor ekor. Saya nampak kedua-dua penjudi adalah lelaki dan wanita, termasuk suri rumah dan kanak-kanak perempuan,” kata Lim.

Persamaan mereka yang mencari bantuan, tambahnya, adalah keadaan seperti bosan sebab cuma berada dalam rumah kerana sekatan pergerakan, atau kerana hilang sumber pendapatan.

Judi buka peluang untuk dapat wang mudah atau hilangkan kebosanan.

“Pada mulanya, semua judi dalam talian ini membolehkan anda menang. Selepas naikkan pertaruhan mereka, pemain mula kalah. Mereka yang sedar tahu bagaimana untuk berhenti dan segera dapatkan bantuan tetapi yang lain tidak dapat dan terus pinjam wang untuk berjudi.”

Salah satu kes paling muda yang Lim uruskan melibatkan seorang gadis 18 tahun yang menanggung hutang sebanyak RM30,000.

“Bapanya tolong bayar hutang dan gadis itu juga berjanji kepada keluarga yang dia tidak akan berjudi lagi. Tetapi, dia mula semula dan kini hutangnya lebih banyak, sampaikan keluarganya terpaksa minta bantuan kami.”

Pusat pemulihan itu, bagaimanapun, hanya dapat tolong penjudi tegar berhenti ketagihan mereka.

Lim menegaskan judi bukan budaya masyarakat Cina, seperti yang digambarkan pemimpin PAS.

Walaupun sudah pasti ada yang ketagih, perjudian biasanya dianggap sebagai permainan dalam kalangan saudara-mara dan ahli keluarga apabila mereka berkumpul untuk cuti Tahun Baharu Cina. – 24 November, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen