PEMIMPIN Palestin dan Israel akan mengadkan pertemuan di Baitulmaqdis pada Ahad, menurut pegawai rasmi, yang merupakan rundingan peringkat tertinggi yang pertama diadakan sejak tindakan kontroversi Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mahu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Perdana Menteri Palestin Rami Hamdallah dan Menteri Kewangan Israel Moshe Kahlon akan bersidang di pejabat Kahlon di Baitulmaqdis, kata sumber Israel kepada AFP pada Selasa tanpa mengulas lanjut.
Hamdallah dan Kahlon sering mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu ekonomi dan infrastruktur. Kali terakhir perteemuan di antara mereka diadakan pada 30 Oktober tahun lalu.
Pertemuan pada Ahad ini merupakan yang pertama sejak Trump pada 6 Disember lalu mahu memindahkan kedutaan Amerika di Israel ke Baitulmaqdis, yang melanggar dasar presiden sebelumnya.
Pemimpin Palestin yang berang menyatakan AS tidak lagi boleh memainkan peranan sebagai broker keamanan dan menggesa penggantungan pengiktirafan Israel, tindakan yang masih belum dilaksanakan.
Sementara itu, Amerika Syarikat turut menyekat dana bantuan sebanyak AS$65 juta kepada agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian Palestin, UNRWA.
Pihak Palestin bagaimanapun tidak mengesahkan laporan Israel mengenai pertemuan itu.
Hamdallah kini ke Brussels untuk menghadiri satu mesyuarat tergempar pada Rabu berhubung Jawatankuasa Perhubungan Ad Hoc, yang mengatur bantuan sokongan antarabangsa kepada rakyat Palestin.
Pemimpin Palestin itu akan membangkitkan isu krisis kewangan yang dihadapi kerajaannya dan meminta dana untuk Gaza, menurut kenyataan kerajaan.– AFP, 30 Januari, 2018.
Komen