Rakyat semakin berani bersuara, kata peserta himpunan Bersih


Alfian Z.M. Tahir Raevathi Supramaniam

Perhimpunan Bersih 4 di Kuala Lumpur pada 30 Ogos 2015 di bagi mendesak Najib Razak yang ketika itu perdana menteri meletak jawatan atas dakwaan rasuah. – Gambar EPA, 23 November, 2021.

MENGINJAK usia 15 tahun penubuhan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini, gerakan itu boleh dikatakan telah berjaya mengubah rakyat Malaysia jadi lebih berani bersuara.

Rakyat wajar menukar kerajaan yang memerintah sejak puluhan tahun, juga tidak salah membantah secara aman di jalanan untuk suara mereka didengari, kata beberapa individu yang berkongsikan pengalaman menyertai beberapa siri perhimpunan anjuran Bersih sejak 2007.

Ditubuhkan pada 2006, Bersih asalnya dianggotai wakil daripada Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Pembangunan Wanita Kolektif (WDC) dan Penulis Media Bebas (WAMI), menuntut pembaharuan kepada pilihan raya yang adil dan bersih serta tadbir urus yang baik.

Diterajui sepenuhnya oleh pertubuhan bukan kerajaan, gerakan itu dilabel sebagai antikerajaan dan anti-Melayu atas usahanya yang menyeru kepada pembaharuan politik negara.

Bersih yang kemudian dijenamakan semula sebagai Bersih 2.0 pada 2010 di bawah pimpinan Maria Chin Abdullah, tidak hanya dikenali di Malaysia tetapi juga Asia Tenggara.

Beberapa individu yang ditemu bual The Malaysian Insight hari ini mengimbau semula pengalaman mereka menyertai perhimpunan demi perhimpunan anjuran Bersih yang telah membuka minda pengundi di Malaysia.

Bekas pengurus Sekretariat Bersih 2.0 Mandeep Singh berkata beliau asalnya bukanlah seorang aktivis ketika menyertai perhimpunan pada 2011, tetapi kerana berasa ‘hebat’ apabila ‘memberontak’.

“Ketika itu bukanlah lebih atas kesedaran politik,” kata Mandeep, 36.

Bekas pengurus Sekretariat Bersih 2.0 Mandeep Singh (kanan). – 23 November, 2021.

Bagaimanapun segalanya berubah apabila beliau menjadi kakitangan Bersih 2.0 pada 2013. Beliau pernah ditahan Maria tidak lama sebelum perhimpunan kelima diadakan pada 2016.

“Bersih telah mengubah pemahaman dan landskap politik Malaysia. Jika dibandingkan dengan Reformasi 1998, bagi saya Bersih memberi impak yang lebih besar kerana menjadikan rakyat celik tentang demokrasi, pilihan raya dan hak asasi manusia.

“Kerajaan yang memerintah selama 60 tahun tumbang kerana rakyat sedar bahawa tiada salahnya untuk menukar kerajaan,” ujar Mandeep, merujuk kepada Barisan Nasional (BN) yang memerintah sejak negara merdeka sehingga 2018.

Bersih menganjurkan perhimpunan pertama pada 2007 dengan matlamat untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bebas dari rasuah. 

Meski ada yang mengatakan perhimpunan Hindraf pada November 2006 telah mendorong rakyat menuntut kebebasan bersuara, Mandeep berkata Reformasi pada 1998 juga menjadi titik tolak kepada kebangkitan menentang tindakan keras kerajaan, terutamanya pemecatan Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri ketika itu dan pemenjaraannya atas tuduhan liwat.

Susulan perhimpunan pertama Bersih pada 2007 itu, rakyat seperti tidak gentar untuk terus bersuara. Dan jika bukan kerana perhimpunan itu Malaysia mungkin masih tidak berubah, kata guru sekolah swasta, Norlaila Othman.

Menceritakan semula kepada The Malaysian Insight, Norlaila berkata beliau menyertai perhimpunan Bersih pada 2007 bersama suami dan anak lelakinya.

Rakyat mungkin masih tidak celik tentang hak asasi dan demokrasi jika bukan kerana Bersih, kata Norlaila Othman (bertudung merah jambu). – 23 November, 2021.

“Anak saya ketika itu berumur 11 tahun. Kebetulan pula semasa itu Hari Raya, saya beritahu saudara-mara yang saya hendak melawat kawan, tetapi sebenarnya kami ke perhimpunan itu.

“Suasana pada masa itu huru-hara, FRU sembur bahan kimia ke arah peserta perhimpunan. Saya dan anak terpisah dan dia ditahan polis. Kejadian itu pula dirakam stesen televisyen.

“Saudara-mara saya semua terkejut, mereka telefon dan bertanya kenapa polis menahan anak saya. Kemudian barulah mereka dapat tahu kami pergi ke perhimpunan. Anak saya dibebaskan tidak lama selepas itu.

“Saya tak rasa menyesal bawa anak bersama. Umurnya sekarang 28 tahun, dan kejadian tersebut telah mengajarnya tentang hak asasi manusia. Kesedaran politiknya tercetus pada usia yang sangat muda,” kata wanita berusia 60 tahun itu.

Seperti juga Mandeep, Norlaila berkata rakyat mungkin masih tidak celik tentang hak asasi dan demokrasi jika bukan kerana Bersih.

“Gerakan ini secara tidak langsung telah mendidik rakyat dari segenap lapisan masyarakat. Bersih mengajar kami tentang pentingnya pilihan raya yang bebas dan adil,” katanya. – 23 November, 2021. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen