Jumlah pesakit Covid-19 dirawat di hospital meningkat 3% 


Ragananthini Vethasalam

KADAR penggunaan katil hospital untuk pesakit Covid-19 meningkat 3% pada minggu berakhir 20 November berbanding minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kadar penggunaan katil bukan ICU meningkat sebanyak 2% kepada 5,751, manakala untuk katil ICU meningkat sebanyak 3% kepada 1,100.
 
8,141 daripada 21,908 katil di pusat kuarantin berisiko rendah juga telah digunakan, menunjukkan peningkatan 3% berbanding minggu sebelumnya.

“Peningkatan itu seiring dengan peningkatan kes aktif,” katanya dalam satu kenyataan.
 
Setakat minggu terakhir pemantauan, terdapat 69,485 kes aktif, iaitu peningkatan 6% daripada minggu sebelumnya.

“Purata kes aktif yang secara konsisten dalam trend menurun selama 10 minggu kini meningkat, lima minggu selepas perjalanan rentas negeri dibenarkan.
 
“Kesan peningkatan kes baharu dan aktif dalam tempoh dua minggu ini dapat dilihat melalui peningkatan kemasukan ke fasiliti penjagaan kesihatan terutamanya dalam kalangan pesakit Kategori 3 hingga 5,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat peningkatan kes dalam Kategori 3,4 dan 5 terutama dalam kalangan mereka yang berumur 40 tahun ke atas.
 
Beliau mengingatkan bahawa usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi akan tertangguh jika bilangan kes dalam kalangan mereka dalam kumpulan umur itu terus meningkat dalam beberapa minggu akan datang.

Walaupun kebanyakan orang dalam kumpulan umur itu telah melengkapkan vaksinasi mereka sejak pertengahan tahun lalu, kajian terkini mencadangkan keberkesanan vaksin berkurangan selepas beberapa bulan.

“Oleh itu, KKM menggesa individu yang mendapat temu janji dos penggalak Covid-19 untuk menerima suntikan mereka,” katanya. – 22 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen