PRN Sarawak guna SOP berbeza, kata Wan Junaidi


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

SOP yang dilaksanakan sepanjang PRN Melaka tidak akan diguna pakai pada PRN Sarawak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2021.

PROSEDUR operasi standard (SOP) yang dilaksanakan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak akan diguna pakai pada PRN Sarawak, kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata Melaka berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), sementara Sarawak dalam Fasa 3.

“Keadaan di Sarawak dan di Melaka ada kelainan sedikit. Sarawak ada undang-undang sendiri berhubung cara menangani Covid-19.

“Bermakna Sarawak berbincang dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan meminta supaya MKN (Majlis Keselamatan Negara ) dan KKM (Kementerian Kesihatan) mengguna pakai undang -undang Sarawak sendiri,” katanya semasa perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa hari ini. 

Ahli Parlimen Santubong itu mengulas soalan berbangkit sama ada SOP pada PRN Melaka akan diguna pakai pada PRN Sarawak atau tidak.

Khoo Poay Tiong (Kota Melaka-PH) kemudian mencelah, berkata SPR tidak bersedia mengendalikan proses pengundian di Melaka yang diadakan pada Sabtu lalu.

“SPR keluarkan satu notis pada 19 November, sehari sebelum pengundian (PRN Melaka), meminta semua wakil calon atau calon ke mesyuarat pada pukul 3 petang untuk membincangkan bagaimana proses pengundi yang diklasifikasikan sebagai individu dalam siasatan (PUI).

“Taklimat pada pukul 3 petang, masa untuk mereka (PUI) mohon keluar mengundi ialah 5 petang. 

“Dua jam saja untuk mereka mohon, jadi ini menujukkan SPR belum lagi bersedia untuk mengendalikan pilihan raya semasa pandemik Covid-19,” katanya.

Dewan Undangan Negeri Sarawak bubar berkuat kuasa 3 November lalu selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan proklamasi darurat di negeri itu ditamatkan.

Ia sekali gus membuka jalan untuk PRN Sarawak diadakan dalam tempoh tempoh 60 hari dari tarikh tersebut.

Penggal DUN Sarawak sepatutnya bubar pada 7 Jun lalu namun ditangguhkan susulan pengisytiharan darurat berkuat kuasa 2 Ogos lalu susulan ancaman penularan jangkitan pandemik Covid-19.

SPR akan bermesyuarat bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN PRN Sarawak pada Rabu ini.

Sepanjang tempoh PRN Melaka, SPR dan KKM melarang penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal diadakan. – 22 November, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen