5 maut, 40 cedera SUV rempuh perarakan Krismas di AS


Tangkap layar menunjukkan sebuah SUV merah merempuh orang perarakan Krismas di Wisconsin, AS semalam. – Gambar EPA, 22 November, 2021.

LIMA orang maut manakala 40 lagi cedera selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh perarakan Krismas di Wisconsin, Amerika Syarikat semalam.

Polis berkata SUV merah itu memecut ke arah perarakan yang sedang berlangsung di bandar Waukesha, pinggir bandar Milwaukee, kira-kira 4.30 petang waktu tempatan.

“Setakat ini seramai lima orang maut dan 40 cedera. Kami masih mengumpulkan maklumat tambahan,” kata Jabatan Polis Waukesha dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Kenyataan turut menyebut SUV yang disyaki telah ditemui.

Ketua Polis Dan Thompson dalam sidang media sebelum itu berkata seramai 11 orang dewasan dan 12 kanak-kanak dibawa hospital untuk rawatan lanjut.

Seorang saksi, Angelito Tenorio, yang bertanding untuk bendahari negeri Wisconsin dipetik Milwaukee Journal Sentinel berkata beliau melihat sebuah SUV memecut pada kelajuan penuh di sepanjang laluan perarakan.

“Kemudian kami terdengar bunyi dentuman yang kuat, diserat tangisan dan jeritan kuat mangsa yang dilanggar kenderaan itu,” katanya. – AFP, 22 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen