Mesir guna tentera Perancis 'bunuh orang awam'


Mesir dipercayai guna perisik tentera Perancis dalam usaha untuk membunuh orang awam yang disyaki melakukan penyeludupan. – Gambar fail EPA, 22 November, 2021.

MESIR dipercayai menggunakan perisik tentera Perancis dalam usaha untuk membunuh orang awam yang disyaki melakukan penyeludupan.

Pendedahan itu dibuat laman web penyiasatan Disclose yang memperoleh dokumen bocor di mana misi antara dua negara itu dikenali sebagai “Sirli”.

Operasi Sirli bermula pada Februari 2016 ketika Perancis Francois Hollande menjadi presiden.

Menurut laman web itu, prinsip misi itu untuk mencari kemungkinan ancaman pengganas dari Libya menggunakan pesawat ringan yang direka untuk pengawasan dan tinjauan.

“Namun ahli pasukan (Perancis) memahami risikan yang dibekalkan kepada Mesir digunakan untuk membunuh orang awam disyaki penyeludup.

“Kakitangan tentera Perancis juga kerap memberitahu pegawai atasan mereka mengenai penyalahgunaan maklumat itu,” menurut laman web itu.

Laporan Disclose berdasarkan ratusan dokumen sulit mengenai operasi yang dibocorkan kepadanya.

Menurut dokumen itu, tentera Perancis terbabit dalam sekurang-kurangnya dalam 19 serangan udara terhadap orang awam, antara 2016 dan 2018.

Selepas beberapa jam ia dibongkarkan, Kementerian Pertahanan Perancis mengesahkan kedua-dua negara mempunyai pengaturan dalam bidang perisikan dan memerangi keganasan.

Bagaimanapun, atas sebab keselamatan mereka tidak bersedia untuk berkata lebih lanjut mengenai perkara itu. – AFP, 22 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen