DUA daripada 17 warga Amerika Utara yang diculik kumpulan Haiti pada pertengahan Oktober lalu dibebaskan dan dilaporkan dalam keadaan baik.
Kementerian Bantuan Kristian yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan, berkata maklumat terhad yang terima hanyalah laporan dua tebusan selamat dan dibebaskan.
“Tebusan ialah 12 dewasa berumur 18 hingga 48 tahun dan lima kanak-kanak antara lapan bulan hingga 15 tahun.
“Kami tidak boleh memberikan atau mengesahkan nama, sebab, asal dan lokasi mereka yang dibebaskan.
“Bagaimanapun, kami masih bimbang mengenai 15 yang masih ditahan,” katanya.
Sekumpulan 16 mubaligh dan keluarga mereka warga AS dan seorang Kanada diculik pada 16 Oktober ketika pulang dari rumah anak yatim di kawasan timur ibu kota Port-au-Prince yang dikawal kumpulan jenayah paling berkuasa di Haiti.
AS menasihatkan rakyatnya untuk tidak ke Haiti disebabkan kes penculikan yang kerap menyasarkan warga AS.
Menurut sumber keselamatan, penculik menuntut wang tebusan AS$17 juta, namun tiada butiran mengenai perkara itu diberikan oleh gereja.
Pusat Analisis dan Penyelidikan dalam Hak Asasi Manusia berkata pada akhir Oktober, sekurang-kurangnya 782 individu diculik untuk wang tebusan sejak Januari di Haiti, hampir sama ramainya pada keseluruhan 2020 yang menyaksikan 796 penculikan. – AFP, 22 November, 2021.
Komen