PERDANA Menteri Sudan Abdalla Hamdok yang digulingkan dan jeneral tertinggi yang menggulingkannya sebulan lalu, semalam menandatangani perjanjian untuk menukar pengambilalihan tentera, tetapi protes berterusan hingga menyebabkan seorang remaja terbunuh.
Ribuan penunjuk perasaan dalam pelbagai perhimpunan menolak perjanjian itu, melaungkan “Tidak mahu kuasa tentera” dan menuntut tentera berundur sepenuhnya daripada kerajaan.
Seorang budak lelaki 16 tahun ditembak dan dibunuh di bandar Khartoum dan Omdurman, kata pegawai perubatan, menjadikan jumlah kematian keseluruhan sejak rampasan kuasa bulan lalu kepada 41 orang.
Beberapa yang lain mengalami luka terkena tembakan selepas pertempuran dengan pasukan keselamatan, tambah mereka.
Jeneral Abdel Fattah al-Burhan hadir di istana presiden di Khartoum untuk satu majlis yang disiarkan di televisyen dengan Abdalla yang kelihatan lesu, muncul dari tahanan rumah selama beberapa minggu.
Perjanjian 14 perkara ditandatangani mereka secara rasmi bertujuan memulihkan peralihan kepada pemerintahan awam yang terjejas akibat insiden 25 Oktober di negara Afrika yang miskin itu.
Perjanjian itu, yang dibuat selepas perbincangan krisis membabitkan peserta Sudan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Afrika dan Barat, menyatakan keputusan Burhan “untuk melepaskan Perdana Menteri peralihan (tugasnya) dibatalkan”.
Ia berkata semua tahanan politik akan dibebaskan dan secara rasmi melancarkan semula proses peralihan yang rapuh ke arah demokrasi penuh. bermula selepas penyingkiran 2019 autokrat lama Omar al-Bashir.
Hamdok memuji revolusi kuasa rakyat yang membawanya menjadi kerajaan dan mengisytiharkan keutamaan utama sekarang ialah menghentikan pertumpahan darah di Sudan.
Burhan berterima kasih kepada Hamdok atas khidmatnya dan berjanji pilihan raya bebas dan telus akan diadakan sebagai sebahagian daripada proses peralihan. – AFP, 22 November, 2021.
Komen