GELOMBANG protes baharu berlaku di beberapa bandar di Eropah dan wilayah luar negara Perancis pada Ahad, apabila penunjuk perasaan bertindak balas, ada kalanya bertukar kepada ganas, terhadap langkah untuk memperkenalkan semula sekatan koronavirus.
Polis dan penunjuk perasaan bertempur di ibu negara Belgium, Brussels dan di beberapa bandar Belanda serta wilayah Caribbean Perancis, Guadaloupe.
Terdapat protes baharu di Austria, susulan perintah oleh kerajaan dan mandat vaksin Covid-19.
Di Brussels, keganasan tercetus semasa protes terhadap langkah anti-Covid-19 yang menurut polis dihadiri 35,000 orang.
Perarakan itu, di Kesatuan Eropah dan daerah kerajaan di bandar itu, sebahagian besarnya memfokuskan larangan terhadap individu tidak divaksin daripada memasuki premis tertentu seperti restoran dan bar.
Ia bermula secara aman tetapi polis kemudian melepaskan tembakan meriam air dan gas pemedih mata sebagai tindak balas kepada penunjuk perasaan yang melontar objek, yang disaksikan jurugambar AFP.
Polis memberitahu agensi berita Belga yang tiga pegawainya cedera.
Beberapa penunjuk perasaan memakai hud dan membawa bendera nasionalis Flemish, manakala yang lain memakai bintang kuning era Nazi.
Penunjuk perasaan membakar palet kayu, dan imej media sosial menunjukkan mereka menyerang van polis dengan papan tanda jalan.
Protes juga meletus di beberapa bandar di Belanda pada Ahad, malam ketiga pergolakan berhubung sekatan koronavirus kerajaan.
Penunjuk perasaan menyalakan bunga api dan merosakkan harta benda di bandar utara Groningen dan Leeuwarden, serta di Enschede di timur dan Tilburg di selatan, kata polis.
“Polis rusuhan hadir untuk memulihkan keadaan,” kata jurucakap polis Groningen kepada AFP.
Pihak berkuasa mengeluarkan perintah berkurung di Enschede, berhampiran sempadan Jerman, mengarahkan orang ramai menjauhi jalanan, kata polis di Twitter.
Perlawanan bola sepak di bandar berhampiran Leeuwarden terganggu seketika selepas penyokong, yang dihalang hadir kerana sekatan Covid-19, membaling mercun, lapor media Belanda.
Pada malam Jumaat, berlaku pergolakan di Rotterdam dan malam tadi di The Hague.
Setakat ini, lebih 100 orang ditangkap di seluruh negara dan sekurang-kurangnya 12 orang cedera semasa bantahan.
Dan di Austria, kira-kira 6,000 orang berkumpul di bandar Linz dalam protes yang dianjurkan oleh parti politik baharu, sehari selepas 40,000 berarak di Vienna bagi menentang sekatan.
Mulai Isnin, 8.9 juta rakyat Austria tidak akan dibenarkan meninggalkan rumah kecuali pergi bekerja, membeli barang keperluan dan bersenam. Dan vaksinasi terhadap Covid-19 akan diwajibkan mulai 1 Februari tahun depan.
Eropah sedang memerangi gelombang jangkitan lain dan beberapa negara mengetatkan sekatan walaupun tahap vaksinasi yang tinggi, terutamanya di barat benua itu. – AFP, 22 November, 2021.
Komen