Taliban arah TV henti siar program papar pelakon wanita


Taliban berjanji memerintah Afghanistan dengan pendekatan lebih sederhana berbanding sebelum ini termasuk peraturan membabitkan kaum wanita. – Gambar EPA, 22 November, 2021.

PIHAK berkuasa Afghanistan, Taliban pada Ahad mengeluarkan “garis panduan agama” baharu yang menggesa saluran televisyen negara itu berhenti menayangkan drama dan sinetron yang menampilkan pelakon wanita.

Dalam arahan pertama kepada media Afghanistan yang dikeluarkan oleh Kementerian Penggalakan Kebajikan dan Pencegahan Maksiat, Taliban juga menggesa wartawan televisyen wanita memakai tudung Islam semasa menyampaikan laporan mereka.

Dan kementerian meminta saluran agar tidak menyiarkan filem atau program di mana Nabi Muhammad atau tokoh lain yang dihormati lain ditayangkan.

Ia menggesa mengharamkan filem atau program yang bertentangan dengan nilai Islam dan Afghanistan.

‘‘Ini bukan peraturan tetapi garis panduan agama’,” kata jurucakap kementerian Hakif Mohajir kepada AFP.

Arahan baharu itu diedarkan secara meluas lewat Ahad di rangkaian media sosial.

Walaupun menegaskan mereka akan memerintah secara lebih sederhana kali ini, Taliban sudah memperkenalkan peraturan mengenai pakaian yang boleh dipakai oleh wanita di universiti, dan memukul serta mengganggu beberapa wartawan Afghanistan walaupun berjanji untuk menegakkan kebebasan akhbar.

Garis panduan Taliban untuk rangkaian TV datang selepas dua dekad pertumbuhan pesat media Afghanistan bebas di bawah kerajaan disokong Barat yang memerintah negara itu sehingga 15 Ogos lalu, apabila kumpulan Islam kembali berkuasa.

Puluhan saluran televisyen dan stesen radio ditubuhkan dengan bantuan Barat serta pelaburan swasta tidak lama selepas Taliban digulingkan pada 2001.

Sepanjang 20 tahun lalu, saluran televisyen Afghanistan menawarkan pelbagai program—daripada pertandingan nyanyian gaya ‘‘American Idol’’ kepada video muzik, selain beberapa sinetron Turki dan India.

Ketika kerajaan Islam sebelum ini memerintah dari 1996 hingga 2001, tiada media Afghanistan kerana mereka mengharamkan televisyen, filem dan kebanyakan bentuk hiburan lain, menganggapnya tidak bermoral.

Orang yang ditangkap menonton televisyen berdepan hukuman, termasuk set mereka dipecahkan. Memiliki pemain video boleh menyebabkan sebatan awam.

Hanya ada satu stesen radio, Voice of Sharia, yang menyiarkan propaganda dan program Islam. – AFP, 22 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen