BINTANG tenis China Peng Shuai muncul di kejohanan tenis Beijing hari ini, merujuk kepada gambar rasmi acara itu selepas tekanan antarabangsa meningkat bagi mendapatkan maklumat tentang keadaannya.
Peng dilihat mengenakan jaket berwarna biru tua dan seluar sukan putih di ‘Fila Kids Junior Tennis Challenger Finals’, merujuk kepada gambar yang diterbitkan di akaun Weibo rasmi Terbuka China.
Ini merupakan penampilan awam pertama Peng sejak tuduhan terbuka bintang itu berhubung penderaan seksual ke atasnya ditapis secara meluas internet China.
Juara beregu Grand Slam dua kali itu tidak dilihat tampil di khalayak sejak awal bulan ini selepas secara terbuka menuduh seorang bekas timbalan perdana menteri Zhang Gaoli, berusia 70-an, yang memaksanya melakukan hubungan seks beberapa tahun lalu.
Berikutan bantahan global, termasuk daripada bintang tenis dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, wartawan media negara China telah mengeluarkan rakaman yang kononnya menunjukkan kehidupan Peng adalah baik-baik saja.
Sebuah video daripada acara itu, ditweet pengarang akhbar Global Times, Hu Xijin yang menunjukkan Peng berdiri di stadium di kalangan sekumpulan tetamu di mana namanya turut diumumkan dan mendapat tepukan gemuruh.
Seorang wartawan Global Times menghantar tweet video lain yang menunjukkan Peng menandatangani autograf bersama kanak-kanak di stadium yang sama sebelum bergambar dengan mereka.
Hu juga menyiarkan dua video lain semalam, yang pertama menunjukkan Peng berjalan ke restoran memakai kot, topi dan topeng muka.
Papan tanda tertera ‘Beijing Yibin Guesthouse’, sebuah restoran terkenal yang terletak tidak jauh dari Dataran Tiananmen milik kerajaan tempatan di Sichuan.
Dalam video kedua, Peng duduk tanpa topeng di meja berbual dengan orang ramai sambil menikmati makanan. AFP bagaimanapun tidak dapat mengesahkan ketulenan video tersebut.
Hu dalam tweet Bahasa Inggeris pada video kedua menunjukkan “Peng Shuai sedang makan malam bersama jurulatih dan rakannya di sebuah restoran. Kandungan video jelas menunjukkan mereka dirakam pada hari Sabtu waktu Beijing.”
Perbualan berkisar tentang “perlawanan tenis”. Seorang lelaki yang duduk bersama Peng dan dua wanita berkata “esok 20 November”.
Namun salah seorang wanita itu dengan cepat membetulkannya, berkata, “Ia adalah hari ke-21”, membayangkan bahawa video itu dirakam pada hari Sabtu.
Perbualan itu nampaknya dirakam pada waktu petang dengan menggunakan telefon bimbit. Peng kelihatan santai dalam rakaman itu. – AFP, 21 November, 2021.
Komen