Tiba masa Pakatan dengar suara akar umbi, sentimen pengundi, kata penganalisis 


Alfian Z.M. Tahir

KEPUTUSAN pilihan raya negeri Melaka perlu jadi pengajaran kepada Pakatan Harapan bahawa penting untuk mendengar suara akar umbi serta memahami sentimen pengundi, kata penganalisis.

Mereka juga memberitahu The Malaysian Insight bahawa menggantikan Anwar Ibrahim sebagai ketua pakatan tidak akan menyelesaikan masalah, kerana tiada seorang pun dalam gabungan itu yang boleh menggantikannya sebagai ketua pembangkang.

Pada pilihan raya Melaka, Barisan Nasional (BN) meraih majoriti dua pertiga selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi.

PH bertanding di semua 28 kerusi dengan PKR meletakkan calon di 11 kerusi, Amanah (9) dan DAP (8). PKR kalah kesemua 11 kerusi kepada BN.

PH memenangi lima kerusi, dengan DAP memenangi empat dan Amanah satu.

Antara nama besar PKR yang tewas ialah ketua penerangan PKR Shamsul Iskandar di Paya Rumput dan bekas ketua menteri Melaka Idris Haron di Asahan.

Ahli akademik kanan Universiti Malaya, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata PKR, khususnya Anwar, perlu lebih mendengar suara akar umbi pada masa akan datang.

Ini selepas beliau menerima bekas ahli Umno Idris untuk bertanding di bawah PKR di Asahan dan menggantikan Adun Machap Jaya Ginie Lim, yang merupakan tokoh popular di kerusi itu, dengan calon yang tidak dikenali.

Idris hanya memperoleh 2,561 undi berbanding BN 5,048. Ginie dikatakan berada dalam kem Azmin Ali ketika beliau berada dalam PKR.

“Ini adalah pengajaran kepada Anwar Ibrahim untuk mendengar suara akar umbi dan memahami sentimen pengundi.

“Idris Haron tidak menambah undi PKR. Malah ia antara punca PH kalah. Mereka perlu kaji kenapa BN berjaya menang di Melaka. Adakah kerana PH lemah atau BN kuat?,” katanya.

Tambah Awang Azman, PKR mungkin perlu keluarkan individu yang berkebolehan seperti Nurul Izzah atau Rafizi Ramli.

“Mereka perlu melihat semula strategi mereka dan lebih kerap membawa orang seperti Nurul Izzah dan Rafizi.

“Ini bukan soal menggantikan Anwar, ini soal strategi bukan personaliti,” katanya.

Pengarah program Iman Research Badrul Hisham Ismail yang turut bersetuju dengan Awang Azman berkata PKR telah terputus hubungan dengan pengundi di Melaka.

Beliau berkata walaupun ramai yang mahu Anwar diganti, tidak ada seorang pun dalam gabungan itu yang boleh mengambil alih peranan Anwar.

“Ia mengenai strategi dan kepimpinan. Masalah Anwar ialah beliau tidak mahu mendengar sentimen rakyat.

“Apa yang istimewa tentang Idris sehingga Anwar mahukan dia? Ini membingungkan saya. Pengundi tidak mahu katak politik tidak kira apa alasan yang digunakan untuk mewajarkan tindakan mereka.”

“Jika anda lihat undi Cina, bukan mereka mahukan MCA tetapi mereka mahu menunjukkan protes mereka.

“Tetapi siapa yang boleh menggantikan Anwar? Tidak ada nombor 2 yang boleh mengambil alih. Tetapi mereka memerlukan rombakan untuk menghadapi PRU15,” tegasnya.

Ditanya sama ada PH sekali lagi memerlukan Dr Mahathir Mohamad, Badrul berkata ia tidak akan membawa sebarang perubahan.

“Saya fikir ia tidak akan berlaku. Selepas bagaimana dia berundur dan tidak tegas terhadap Anwar sebagai penggantinya. Pengundi tidak akan mempercayainya kali ini,” katanya.

Anwar dipersalahkan

Dalam pada itu pakar Geostrategi, Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata PH mesti mencari calon yang boleh dipersiapkan untuk menggantikan tempat Anwar.

Beliau menjelaskan PH tidak boleh lagi menggambarkan Anwar sebagai calon PM.

“DAP kali ini kehilangan empat kerusi mereka kepada Umno dan MCA. Salah siapa? Ini salah Anwar.

“Masalahnya mereka tidak ada orang untuk menggantikan beliau. Mulai sekarang PKR atau PH mesti mencari seseorang untuk diketengahkan daripada ahli Parlimen Port Dickson.

“Anwar bukan lagi calon PM. Jika mereka tidak mencari jalan untuk menyelesaikannya, saya tidak fikir mereka boleh menang dalam PRU,” katanya.

Badrul mencerminkan sentimen Azmi tetapi berkata PH tidak mempunyai masa yang cukup untuk melatih seseorang kerana PRU sudah hampir.

BN tidak akan tunggu lagi, katanya.

Umno kembali berkuasa di Melaka selepas BN meraih kemenangan besar dalam pilihan raya negeri, dengan gabungan itu memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, kembali membentuk kerajaan baharu dengan majoriti dua pertiga.

Umno, yang dirangsang oleh kempen Najib Razak, memenangi 18 kerusi, diikuti oleh MCA (2) dan MIC (1).

Sementara itu di pihak PN, Bersatu memenangi dua kerusi manakala sekutunya PAS dan Gerakan gagal memenangi apa-apa.

Bagi PH pula, pakatan pimpinan Anwar memenangi lima kerusi – empat oleh DAP dan satu oleh Amanah, manakala PKR gagal memenangi sebarang kerusi.

PKR bertanding di 11 kerusi, dan antara nama besar yang kalah termasuk ketua penerangan PKR Shamsul Iskandar di Paya Rumput dan bekas menteri besar Melaka dan pemimpin Umno Idris Haron di Asahan.

Pada pilihan raya umum lalu Umno memenangi 13 kerusi, diikuti DAP (8), PKR (3), Bersatu (2) dan Amanah (2). – 21 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen