SRI LANKA terpaksa melupakan usaha menjadi negara pertanian organik pertama dunia selepas negara itu mengumumkan untuk menarik balik sekatan import terhadap racun perosak dan input tani lain.
Pulau itu telah berada dalam cengkaman krisis ekonomi teruk, dengan kekurangan tukaran asing yang mencetuskan kekurangan makanan, minyak mentah dan barangan keperluan lain.
Pihak berkuasa telah membatalkan sekatan ke atas import baja bulan lalu untuk penanaman teh yang menjadi sumber pendapatan eksport utama negara.
Namun menjelang protes petani yang dirancang di ibu negara, kementerian pertanian Sri Lanka berkata ia akan menamatkan larangan lebih meluas terhadap semua bahan kimia pertanian termasuk racun herba dan racun perosak.
“Kami kini akan membenarkan input kimia yang diperlukan segera,” kata setiausaha kementerian Udith Jayasinghe kepada rangkaian TV News First.
“Memandangkan keperluan untuk memastikan bekalan makanan mencukupi, kami telah mengambil keputusan ini.”
Kawasan ladang luas telah ditinggalkan selepas sekatan import yang mula diperkenalkan pada Mei.
Kekurangan itu menjadi bertambah buruk pada minggu lalu, dengan harga beras, sayur-sayuran dan makanan ruji pasaran lain meningkat dua kali ganda di seluruh Sri Lanka.
Pasar raya juga telah membuat catuan jualan beras, membenarkan hanya lima kilogram (11 paun) bagi setiap pelanggan.
Pertubuhan peladang telah merancang untuk berarak di Parlimen negara di Colombo pada Jumaat ini untuk menuntut import bahan kimia penting bagi melindungi tanaman mereka.
Presiden Gotabaya Rajapaksa telah mewajarkan sekatan import ke atas bahan terbabit kerana mahu menjadikan pertanian Sri Lanka 100% organik.
Dasar itu diperkenalkan selepas kesan besar terhadap ekonomi pulau itu yang kekurangan wang berikutan pandemik Covid-19, dengan pendapatan pelancongan dan kiriman wang pekerja asing jatuh secara drastik.
Pihak berkuasa cuba menjimatkan tukaran wang asing menjelang tahun lalu dengan menyekat pelbagai barangan import, termasuk beberapa makanan dan rempah ratus.
Sri Lanka juga menutup satu-satunya kilang penapisan minyaknya bulan lalu selepas kehabisan duit untuk mengimport minyak mentah. – AFP, 21 November, 2021.
Komen