Pilih Dr Mahathir sebagai PM adalah satu kesilapan, kata Masing


Desmond Davidson

Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing berkata Najib Razak merupakan perdana menteri pertama yang berjanji untuk mendengar tuntutan Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2018.

TIMBALAN Ketua Menteri Sarawak James Masing hari ini memberi amaran kepada rakyat negeri itu supaya jangan mengundi Pakatan Harapan (PH) dan memilih Dr Mahathir sebagai perdana menteri untuk kali kedua.

Dalam ucapan beliau semasa sambutan ulang tahun ke-150 Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini, Masing berkata rakyat negeri itu akan melakukan kesilapan sekiranya mengundi PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, tuntutan Sarawak supaya Perjanjian Malaysia 1963 dipatuhi dan pengembalian hak-hak keistimewaan negeri tidak akan tercapai sekiranya Dr Mahathir sekali lagi menjadi perdana menteri.

Masing berkata, seandainya tuntutan itu dikemukakan ketika Dr Mahathir masih memerintah, mereka akan “dipandang rendah dan dianggap sebagai musuh”.

Tambah Masing, beliau yakin kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Najib Razak akan menghormati Perjanjian Malaysia.

Dr Mahathir jadi perdana menteri dari 1988 hingga 2003 dan telah diumumkan sebagai calon perdana menteri PH sekiranya pakatan itu berjaya menewaskan Barisan Nasional pada PRU14.

“Jadi, Sarawak akan mendapat manfaat jika Najib terus kekal sebagai perdana menteri. Beliau adalah pemimpin pertama yang mendengar tuntutan Sarawak, dan mengambil berat terhadap kepentingan negeri ini apabila membuat keputusan,” kata Masing.

Beliau juga berkata Najib merupakan perdana menteri pertama yang berjanji untuk mendengar tuntutan Sarawak. – 30 Januari, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen