RUSIA dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju mengadakan misi penerokaan bersama ke Venus, lapor Sputnik memetik ketua agensi angkasa Roscosmos Dmitry Rogozin.
“Kami bersetuju untuk adakan misi bersama ke Venus dengan Amerika,” kata Rogozin dalam program Soloviev Live YouTube pada Sabtu.
Rusia merancang menghantar Venera-D ke Venus pada November 2029. Misi itu pada awalnya dirancang di bawah program usahasama Rusia-AS.
Bagaimanapun, pada tahun lepas Roscosmos memaklumkan misi Venera-D akan menjadi projek bebas tanpa kerjasama antarabangsa.
Rusia juga menyasarkan untuk menghantar misi penerokaan Venus pada Jun 2031 dan satu lagi pada Jun 2034, untuk mengkaji atmosfera planet itu selain mengumpul beberapa sampel tanah.
Pada Jun, jurucakap NASA memberitahu Sputnik bahawa agensi angkasa AS bersedia membincangkan rancangan selanjutnya untuk penerokaan Venus dengan Rusia. – Bernama, 21 November, 2021.
Komen