PRN Melaka: Yang menang dan kalah


K. Kabilan

Umno menjadi pemenang terbesar PRN Melaka, sekali gus muncul sebagai parti tunggal terbesar di negeri kecil itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November 2021.

KEMENANGAN besar Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka semalam memberi harapan tinggi kepada gabungan itu pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun bagi Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), kekalahan mereka di negeri itu adalah satu tamparan hebat. Mereka kini perlu mengatur semula pendekatan dan strategi terbaik.

Berikut adalah sorotan pihak yang menang dan kalah dalam PRN Melaka.

PEMENANG

Umno

Tidak dinafikan, pemenang terbesar di Melaka ialah Umno. Parti itu memenangi 18 daripada 21 kerusi yang dimenangi BN, menjadikannya parti tunggal terbesar di negeri kecil itu. Pada PRU14, Umno menang 13 kerusi.

Parti itu memastikan cengkaman kuat dengan pantas mengisytiharkan calonnya Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri pada jam 1 pagi, hanya beberapa jam selepas keputusan pilihan raya diumumkan secara rasmi. 

Tidak memberi peluang mana-mana pihak lain “membeli” wakil rakyat yang menang untuk membentuk kerajaan baharu.

Dengan keputusan itu, parti itu juga menyingkirkan puak pemberontak di peringkat negeri, termasuk Idris Haron yang mengalami kekalahan memalukan di Asahan untuk parti baharunya PKR.

 Umno juga kini mendapat kelebihan dalam menangani Bersatu dan PAS di peringkat persekutuan.

Najib Razak

Bekas perdana menteri itu adalah pelawat tetap di Melaka sepanjang tempoh kempen walaupun ceramah dan lawatan rumah tidak dibenarkan, malah beliau tidak mengetuai kempen Umno/BN.

Najib terpaksa bekerja lebih masa untuk bertemu pengundi di negeri itu sambil turut menghadiri kes mahkamahnya di Kuala Lumpur.

Dan beliau melakukan tugas baik dalam mendekati pengundi - dengan menangani larangan Suruhanjaya Pilihan Raya - dengan menghadiri begitu banyak “sesi makan”, ramah mesra dan berkumpul di gerai makan di seluruh negeri. 

Beliau juga menjadi promoter makanan tempatan yang popular di media sosialnya.

Ahli Parlimen Pekan itu juga menggunakan media sosialnya dengan baik untuk menangani dan mengetengahkan isu melibatkan rakyat Melaka. Malah kontroversi permohonannya untuk mendapatkan hadiah RM100 juta daripada kerajaan tidak mematahkan semangatnya di Melaka. Beliau berjaya membantu Umno kali ini.

Ahmad Zahid Hamidi

Kemenangan besar Umno di Melaka membuktikan beliau betul dalam gesaannya untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dan bergerak secara solo. Jika Melaka menjadi batu uji dalam menghadapi pengundi sendiri, taktik Zahid berjaya.

Beliau kini boleh berharap untuk menerajui Umno dan BN dalam menghadapi PRU15 sendirian, dan dengan momentum yang diperolehi tahun lalu, seiring dengan kemenangan di Melaka, presiden Umno itu yakin dapat memadamkan kekalahan perit pada PRU14.

Kemenangan di Melaka juga akan menutup mulut pengkritik dalam parti yang mendesak agar hubungan kerja berterusan dengan Bersatu dan PAS.

KALAH

 Anwar Ibrahim

 Tidak dinafikan, kekalahan partinya PKR adalah satu kejutan besar. Menjelang pilihan raya, PKR yakin dapat menewaskan Umno dan Bersatu dalam perebutan undi Melayu, dan berangan untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Keyakinan inilah yang mendorong Anwar menghantar dua orang kuat untuk bertanding di Melaka - Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar di Paya Rumput dan bekas menteri besar

Melaka dan pemimpin Umno Idris Haron di Asahan.

PKR bertanding di 11 kerusi dan tewas kesemuanya. Pada PRU14, PKR menang tiga kerusi di Melaka.

Keputusan beliau menerima dua pemimpin Umno yang dipecat ke dalam PH, termasuk Idris, akan mendapat perhatian lebih besar sekarang.

Anwar juga perlu menjawab persoalan yang ditimbulkan jika beliau berundur untuk membenarkan orang lain memimpin PH bagi menghadapi PRU15. Tetapi sebelum itu, PH dan PKR perlu bersedia untuk pilihan raya Sarawak.

Muhyiddin Yassin

Presiden Bersatu dan Pengerusi PN mewakili pakatan itu di Melaka, tetapi akhirnya mereka hanya menang dua kerusi melalui Bersatu walaupun bertanding dikesemua 28 kerusi.

PN berdepan pilihan raya negeri dengan yakin akan mewujudkan gelombang tetapi berakhir dengan menimbulkan lebih banyak persoalan tentang impak dan masa depan PN.

Muhyiddin berkata beliau berpuas hati dengan kedua-dua kerusi itu dan keputusan menunjukkan PN sedang menembusi negeri Melaka. Bagaimanapun, hakikatnya bekas perdana menteri itu pasti sakit hati dengan cara mereka tewas kepada Umno.

Beliau juga kini perlu berurusan dengan PAS untuk mengekalkan impak PN, dan memutuskan bagaimana beliau boleh bekerjasama dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di peringkat persekutuan.

Ismail Sabri Yaakob

Tidaklah sangat memberi kesan kepada beliau dengan keputusan di Melaka tetapi ia akan menjadi gangguan kepadanya dalam mentadbir Putrajaya.

Bukan pemain besar dalam pilihan raya Melaka tetapi beliau pernah melawat negeri itu sekali. 

Perdana menteri dan naib presiden Umno itu pastinya pening kepala di peringkat persekutuan sekarang dalam menangani Bersatu dan PAS serta dua pihak yang dikalahkan partinya sendiri di Melaka.

Beliau perlu mengatasi pergeseran yang disebabkan oleh pilihan raya negeri untuk memastikan pentadbirannya berjalan dengan lancar.

Beliau juga perlu memberi perhatian kepada ketua partinya sendiri yang pastinya sangat gembira selepas kemenangan mereka di Melaka, dan benar-benar mahu Umno mentadbir di Putrajaya. – 21 November, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen