KIRA-KIRA 600 pendatang dari 12 negara diselamatkan di Mexico yang berhimpit dalam dua treler, kata Institut Migrasi Kebangsaan negara itu pada Sabtu.
Sebanyak 145 wanita dan 455 lelaki, yang bukan sahaja berasal dari Amerika Tengah tetapi juga Afrika dan India, ditemui di tenggara Veracruz, kata institut itu dalam satu kenyataan.
Sebahagian besar adalah dari Amerika Tengah dengan 401 dari Guatemala. Berpuluh-puluh yang lain dari Honduras dan Nicaragua manakala 37 orang dari Bangladesh, enam dari Ghana, dan seorang dari India dan Cameroon, tambah institut itu.
Pendatang berhimpit dalam dua treler yang mempunyai dua kontena, kata Tonatiuh Hernandez, ketua tempatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.
“Ada kanak-kanak bawah umur, saya nampak wanita hamil, orang sakit,” kata Hernandez, sambil menambah beliau tidak pernah melihat begitu ramai pendatang dalam keadaan sedemikian.
Sebuah video AFP menunjukkan beberapa ratus pendatang, kelihatan letih, memenuhi kawasan depan Institut Migrasi Kebangsaan ketika polis berkawal berhampiran.
Selepas nama mereka dibacakan oleh pegawai, pendatang menaiki bas untuk dibawa bagi proses selanjutnya.
Perkhidmatan perlindungan kanak-kanak juga dimaklumkan mengenai keluarga dengan kanak-kanak atau kanak-kanak di bawah umur yang datang sendirian, menurut Hernandez.
Sebagai koridor antara Amerika Tengah dan Amerika Syarikat, Mexico menyaksikan sejumlah besar pendatang merentasi wilayahnya.
Dua kumpulan dengan beberapa ratus pendatang kini sedang melalui selatan Mexico, bertujuan untuk memperoleh dokumen yang membolehkan mereka transit melalui negara itu.
Aliran pendatang tanpa izin melonjak dengan pelantikan Presiden AS Joe Biden, yang mengambil pendekatan yang lebih berperikemanusiaan terhadap krisis sempadan berbanding pendahulunya Donald Trump.
Amerika Syarikat merekodkan 1.7 juta orang masuk secara haram dari Mexico antara Oktober 2020 hingga September 2021, jumlah tertinggi untuk tempoh tersebut. – AFP, 1 November, 2021.
Komen