Taliban mula bayar gaji kakitangan kerajaan


Sejak Ogos, sektor perbankan Afghanistan runtuh dan rakyat mengalami kesukaran mengakses dana di bank apabila pengeluaran dihadkan kepada AS$200 hingga AS$400 seminggu. – Gambar EPA, 21 November 2021.

PIHAK berkuasa Afghanistan, Taliban berkata pada Sabtu yang mereka mula membayar kakitangan awam yang tidak menerima gaji sejak kumpulan Islam itu merampas kuasa dan mencetuskan krisis kewangan yang besar.

Kebanyakan kakitangan kerajaan masih belum kembali bekerja dan ramai belum dibayar gaji selama berbulan-bulan walaupun sebelum Taliban mendapat kuasa, terutamanya pekerja luar bandar.

“Kami akan membayar gaji mulai hari ini. Kami akan membayar tiga bulan gaji,” kata jurucakap kementerian kewangan Ahmad Wali Haqmal pada sidang media.

Haqmal berkata gaji akan dibayar bagi tempoh bermula 23 Ogos, sambil menambah beberapa kakitangan kerajaan akan dibayar walaupun sebulan sebelum Taliban mengambil alih kuasa.

Pembayaran itu akan dibuat melalui sistem perbankan negara yang menurut Haqmal tidak “lumpuh” sejak kejatuhan kerajaan terdahulu.

“Ia hanya memerlukan masa untuk beroperasi seperti biasa,” katanya.

Kakitangan kerajaan masih tidak dapat mengakses gaji penuh mereka.

Sejak Ogos, sektor perbankan Afghanistan runtuh, dan mereka yang mempunyai wang di bank bergelut untuk mengakses dana mereka apabila cawangan mengehadkan pengeluaran kepada AS$200 hingga AS$400 seminggu.

Masalah kewangan bertambah teruk selepas Washington membekukan kira-kira AS$10 bilion aset yang dipegang dalam rizabnya untuk Kabul dan semakin merosot selepas Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa menghentikan akses Afghanistan kepada pembiayaan.

Penderma asing diketuai oleh Amerika Syarikat menyediakan lebih 75% perbelanjaan awam di bawah kerajaan Afghanistan yang disokong Washington selama 20 tahun sebelum ini.

Keadaan yang semakin teruk memaksa rakyat Afghanistan menjual barangan rumah mereka untuk mengumpul wang bagi makanan dan keperluan lain dengan mata wang tempatan jatuh dan harga meroket.

Meraj Mohammad Meraj, jurucakap jabatan hasil kerajaan, berkata pihak berkuasa akan membayar gaji selepas memperoleh hasil sebanyak 26 bilion Afghanistan (sekitar AS$277 juta) dalam dua setengah bulan lalu.

“Hanya 20 hingga 25% ekonomi beroperasi… Tidak semua sektor beroperasi pada masa ini,” kata Meraj pada sidang media itu.

Tambahnya, pihak berkuasa akan memperkenalkan cukai Islam baharu untuk membiayai projek bantuan kepada rakyat miskin dan anak yatim. – AFP, 1 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen