BN akan cadang 5 ketetapan agenda transformasi kestabilan politik, kata Zahid


Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu akan mencadangkan ketetapan agenda transformasi kestabilan politik pada sesi persidangan pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 November 2021.

BARISAN Nasional (BN) akan mencadangkan lima ketetapan yang menjurus kepada agenda transformasi dan pengukuhan bagi mewujudkan kestabilan politik negara bermula di Melaka berikutan kejayaan gabungan itu meraih majoriti lebih dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata BN akan mencadangkan ketetapan itu pada sesi persidangan pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

“Agenda pertama adalah memperkenalkan Enakmen Anti Lompat dan meminda peruntukan undang-undang berkaitan bagi menangani isu ‘lompat’ dalam kalangan wakil rakyat di DUN Melaka,” katanya dalam sidang media selepas BN memperoleh majoriti dua pertiga pada PRN itu.

BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka malam ini.

Beliau berkata ketetapan kedua pula adalah mengusulkan kerjasama antara wakil rakyat untuk memastikan jangka hayat DUN Melaka kekal sekurang-kurangnya empat tahun dari tarikh pertama persidangan.

Katanya turut dicadangkan adalah memperkenalkan amalan undi percaya konstruktif bagi memastikan sebuah kerajaan tidak mudah dijatuhkan.

Ketetapan lain yang dicadangkan adalah memperkenalkan agenda transformasi dan pengukuhan dalam urusan persidangan DUN Melaka untuk membolehkan semua wakil rakyat memainkan peranan lebih efektif dalam penggubalan undang-undang, pembuatan dasar dan semak serta imbang terhadap kerajaan negeri.

Zahid berkata ketetapan yang dicadangkan selaras dengan agenda kestabilan politik yang menjadi teras gabungan BN dan kemenangannya pada PRN Melaka adalah isyarat jelas hasrat rakyat negeri itu.

“Kejayaan yang telah diberikan kepada BN akan dibalas oleh kita dengan memberikan perkhidmatan terbaik serta melaksanakan segala janji yang terdapat dalam manifesto BN.

“Dengan kemenangan ini, BN juga mengiktiraf permintaan rakyat yang mahukan kestabilan politik kembali di Melaka… insya-Allah, kestabilan politik ini kita akan terjemahkan di seluruh negara dalam PRU (Pilihan Raya Umum) nanti,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya malam ini mengumumkan BN memperoleh majoriti melebihi 50 peratus daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan dalam PRN Melaka.

BN memenangi 21 kerusi manakala Perikatan Nasional dua kerusi dan Pakatan Harapan memperoleh lima kerusi. 

PRN itu diadakan ekoran pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – Bernama, 20 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen