SEKURANG-KURANGNYA 30 maut atau hilang selepas banjir kilat melanda selatan India, menurut satu laporan media tempatan hari ini. Kejadian itu turut menghanyutkan tiga bas.
Pasukan penyelamat mengeluarkan berpuluh-puluh mayat selepas tiga bas berkenaan dihanyutkan di Andhra Pradesh pada Jumaat.
Sementara itu, menurut laporan The NewsMinute sekurang-kurangnya 18 orang lagi masih hilang.
Penganalisis berkata cuaca tidak menentu dan melampau di seluruh Asia Selatan berpunca daripada perubahan iklim serta diburukkan lagi oleh pembendungan, penebangan hutan dan pembangunan yang berlebihan.
Puluhan maut sejak Oktober di India selepas hujan lebat mengakibatkan banjir dan tanah runtuh, malah Pejabat Meteorologi negara itu berkata lebih banyak hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan selatan hari ini.
Sekurang-kurangnya 42 mangsa terbunuh bulan lalu apabila hujan lebat melanda Kerala, dan pada Jumaat pihak berkuasa di negeri itu menghentikan kemasukan ke Sabarimala, salah satu kuil paling suci agama Hindu, berikutan hujan lebat di kawasan tersebut.
Ratusan penganut telah melakukan pengembaraan ke Sabarimala sejak kuil itu dibuka minggu lalu untuk musim ziarah tahunan selama dua bulan.
Paras air semakin meningkat di sungai Pamba yang dianggap suci oleh penganut beragama Hindu, memaksa pegawai untuk menghentikan kemasukan selama sehari, lapor akhbar Hindustan Times hari ini. – AFP, 20 November, 2021.
Komen