Gambar terbaharu pemain tenis China yang hilang muncul dalam talian


Gambar terbaharu didakwa dimuat naik Peng Shuai di WeChat ini dikongsikan wartawan mesra pemerintah komunis China di Twitter, memnunjukkan kartun Winnie the Pooh yang diharamkan Beijing kerana menyerupai presiden Xi Jinping. – Gambar Twitter, 20 November, 2021.

GAMBAR Peng Shuai yang tidak disahkan telah disiarkan dalam talian oleh seorang wartawan mesra pemerintah komunis ketika dunia bimbang terhadap bintang tenis China yang tidak dilihat secara terbuka menuduh seorang bekas timbalan perdana menteri memaksanya melakukan hubungan seks.

Akaun Twitter @shen_shiwei, yang dilabelkan sebagai “media sekutu negara China” oleh rangkaian sosial itu, menyiarkan empat imej tanpa tarikh Peng Shuai pada Jumaat.

Dalam ciapan di twitter, @shen_shiwei berkata gambar-gambar itu, yang tidak dapat disahkan secara bebas oleh AFP, dikongsi di WeChat milik Peng untuk mengucapkan “selamat berhujung minggu” kepada pengikutnya.

Satu foto menunjukkan pemain tenis itu tersenyum dengan kucing dalam pelukannya, dengan boneka haiwan, trofi, bendera Cina dan sijil kelihatan dibelakangnya.

Satu lagi syot menunjukkan selfie Peng dengan mainan daripada animasi kanak-kanak Kung Fu Panda, dengan imej Winnie the Pooh di latar belakang.

Watak kanak-kanak itu sering ditapis dalam talian di China kerana pengkritik mendakwa ketua komunis China Xi Jinping menyerupai Winnie the Pooh.

Bintang tenis China Peng Shuai yang buat pendedahan diganggu secara seksual oleh ahli politik komunis tertinggi negaranya hilang tanpa jejak di dunia nyata namun semalam timbul gambar di WeChat beliau mengucap selamat berhujung minggu kepada para kenalannya. – Gambar EPA, 20 November, 2021.

Permintaan untuk komen daripada pengguna @shen_shiwei tidak segera dijawab.

Twitter disekat di China dan hanya orang yang mempunyai penyelesaian jenis VPN boleh mengaksesnya. Bagaimanapun, ramai diplomat China dan media rasmi negara mempunyai akaun untuk mempertahankan pandangan China.

Awal bulan ini, bekas juara beregu Wimbledon itu mendakwa di laman media sosial China Weibo bahawa ketua Parti Komunis Zhang Gaoli, kini dalam lingkungan 70-an, telah memaksanya melakukan hubungan seks.

Mesejnya dengan cepat dihapuskan dari internet di Cina, malah Beijing berulang kali enggan mengulas mengenai kes itu.

Amerika Syarikat pada Jumaat menuntut bukti keberadaan dan kesejahteraan pemain tenis berusia 35 tahun itu, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa siasatan telus terhadap dakwaan Peng. – AFP, 20 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen