Gerakan #MeToo China tersekat oleh tapisan, undang-undang keras komunis


Walaupun kerajaan komunis China pimpinan Xi Jinping telah mengisytiharkan wanita adalah "kuasa penting yang memacu pembangunan dan kemajuan sosial", tetapi hampir tidak ada wanita memain peranan penting dalam pemerintahan komunis itu. – Gambar EPA, 20 November, 2021.

PERGERAKAN #MeToo China berhadapan kekangan tahap tinggi apabila disekat di dunia maya dan dunia nyata selain berhadapan tentangan masyarakat patriarki serta sistem perundangan yang tidak menyebelahi gerakan itu.

Bulan ini bintang tenis Peng Shuai mendakwa bekas ahli politik tertinggi Parti Komunis China telah menyerangnya secara seksual sekali gus menandakan kali pertama tuduhan seperti itu dilemparkan ke peringkat tertinggi kerajaan.

Tetapi tuduhannya dengan cepat dihapuskan dari internet China, malah sejak itu beliau kelibatnya tidak lagi nampak secara fizikal mahu pun di alam maya.

Mangsa lain turut menghadapi nasib sama, dengan kerajaan komunis China yang semakin keras membanteras sebarang bentuk gerakan sosial akar umbi.

Pergerakan #MeToo global sampai ke China pada 2018 apabila gelombang wanita menerbitkan dakwaan gangguan seksual terhadap profesor universiti.

Diancam dengan prospek pergerakan rakyat yang tidak terkawal, pihak berkuasa dengan cepat menyekat tanda pagar media sosial dan kata kunci.

Frasa #MeToo masih disekat.

Feminis terkenal kerap kali berhadapan gangguan dan penahanan polis - termasuk aktivis Sophia Huang Xueqin yang ditangkap pada September kerana “menghasut menentang kuasa negara”, menurut Reporters Without Borders.

Walaupun kerajaan komunis China pimpinan Xi Jinping telah mengisytiharkan wanita adalah “kuasa penting yang memacu pembangunan dan kemajuan sosial”, hampir tidak ada wanita dalam peranan penting kerajaan di China.

Kepimpinan politik parti komunis itu dikuasai lelaki, dengan hanya seorang wanita dalam Politburo elit 25 ahli Parti Komunis.

Xi juga secara agresif mendorong naratif konservatif wanita sebagai ibu dan isteri. – AFP, 20 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen