Benih padi IS21 tingkat hasil 35% lebih tinggi, kata Mosti


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Adham Baba (tengah) dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (kanan) ketika melancarkan benih padi baharu IS21 di Sekinchan, Selangor hari ini. – Gambar Facebook, 20 November, 2021.

TEKNOLOGI benih padi baharu IS21 oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dapat membantu para pesawah meningkatkan produktiviti pengeluaran padi dengan anggaran hasil 35 peratus lebih tinggi dibandingkan dengan purata kebangsaan.

Menterinya Adham Baba berkata benih padi IS21 dijana melalui teknologi nuklear dengan kaedah mutasi aruhan sinaran gama, telah dibangunkan atas inisiatif Nuklear Malaysia, agensi di bawah Mosti.

“Teknologi biak baka mutasi ini merupakan alternatif kepada prosedur pembaikbakaan konvensional dan ia berpotensi digunakan ke atas tanaman agromakanan dalam menghasilkan varieti yang mempunyai ciri-ciri lebih baik.

“Biak baka mutasi ini akan mempunyai ketahanan terhadap perubahan cuaca mendadak, ketahanan terhadap tekanan biotik dan abiotik serta pengeluaran hasil cepat dan mempunyai kualiti yang lebih baik dari segi zat dan nutrisi,” katanya di Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Sekinchan hari ini.

Menerusi risalah yang diedarkan kepada media, IS21 merupakan singkatan bagi nama Ismail Sabri dan angka 21 mewakili tahun 2021. – Gambar Facebook, 20 November, 2021.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan benih padi IS21 pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar.

Menerusi risalah yang diedarkan kepada media, IS21 merupakan singkatan bagi nama Ismail Sabri dan angka 21 mewakili tahun 2021.

Adham berkata benih padi IS21 merupakan contoh hasil penyelidikan dari makmal ke pasaran yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti dan nutrisi makanan.

Beliau turut menjelaskan pembangunan benih padi menggunakan teknologi baharu telah mula membuka peluang perusahaan dan pekerjaan amat memberangsangkan kepada penduduk Sekinchan dan persekitarannya. 

Sementara itu, Adham berkata padi IS21 ini telah diiktiraf oleh Jawatankuasa Dasar Bantuan Kerajaan kepada Industri Padi dan Beras sebagai benih padi sah negara dan dimasukkan dalam skim subsidi padi negara. 

“Melalui subsidi ini, pesawah boleh mendapatkan benih padi pada harga RM35 untuk 20kg,” katanya.

Sehingga kini, Adham berkata terdapat lebih 15,000 pesawah padi di seluruh negara telah menerima dan menanam padi IS21 ini. – Bernama, 20 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen