MEMBERI sokongan kepada Hamas di Britain boleh dihukum penjara 14 tahun jika kerajaan berjaya mengharamkan kumpulan itu sebagai pertubuhan pengganas, kata Pejabat Dalam Negeri pada Jumaat.
Setiausaha Dalam Negeri Priti Patel mengumumkan langkah untuk membawa Britain bersama Amerika Syarikat, yang menetapkan Hamas sebagai kumpulan pengganas pada 1995, selain Kesatuan Eropah (EU).
Parlimen akan mengundi cadangan itu minggu depan dan jika berjaya, akan berkuat kuasa Jumaat depan.

Patel berhujah pengharaman secara terang-terangan di bawah Akta Keganasan 2000 adalah perlu kerana susah untuk bezakan antara sayap politik dan ketenteraan Hamas.
Sayap tentera gerakan Islam Briged al-Qassam yang memerintah Semenanjung Gaza telah diharamkan di Britain sejak Mac 2001.
“Hamas ada keupayaan pengganas yang ketara, termasuk akses kepada senjata yang luas dan canggih, serta kemudahan pengganas, dan ia telah lama terlibat dalam keganasan,” katanya dalam satu kenyataan.
“Hamas melakukan, mengambil bahagian, bersiap sedia dan menggalakkan keganasan.”
Patel, yang dalam perjalanan ke Washington, sebelum ini menggelar Hamas “anti-Semitik”, menambah pengharaman itu perlu bagi melindungi Yahudi.
Perdana Menteri Israel Naftali Bennett memuji berita itu, menggelar Hamas sebagai “kumpulan Islam radikal yang menyasarkan warga Israel yang tidak bersalah dan mahu musnahkan Israel”.
“Saya mengalu-alukan niat UK untuk isytihar Hamas sebagai pertubuhan pengganas, sebab itulah yang sebenarnya,” tulisnya di Twitter.
Menteri Luar Yair Lapid berkata langkah itu adalah hasil daripada usaha bersama antara kerajaan British dan Israel.

Kritikan Hamas
Bagaimanapun jurucakap Hamas Hazem Qassem menyifatkan tindakan itu sebagai “jenayah terhadap rakyat Palestin dan semua sejarah perjuangan mereka, serta mengecam perjuangan sah semua rakyat merdeka untuk menentang penjajahan”.
Qassem berkata keputusan itu, jika diluluskan Parlimen, akan menjadi “dosa besar politik, moral dan perundangan oleh Britain” yang hanya memihak kepada Israel.
Cadangan itu akan menyaksikan pengharaman pengibaran bendera Hamas, mengatur pertemuan dengan ahlinya atau memakai pakaian menyokong kumpulan itu.
Dari segi politik, pengharaman itu akan memaksa parti Buruh Britain mengambil pendirian terhadap Hamas, berikutan ada sokongan kuat pro-Palestin dalam parti pembangkang utama itu.
Bekas pemimpin pembangkang Jeremy Corbyn pada 2016 berkata beliau kesal pernah memanggil ahli Hamas dan Hizbullah sebagai “kawan” semasa mesyuarat di Parlimen Britain.
Veteran sosialis Corbyn berkata beliau cuba menggunakan bahasa “inklusif” untuk menggalakkan perbincangan mengenai proses damai. Beliau letak jawatan selepas pilihan raya Buruh 2019.
Di bawah kepimpinannya, penentang yang didakwa anti-Semitisme tidak dikawal malah berkembang, memaksa Yahudi dan ahli Parlimen meninggalkan parti secara beramai-ramai.
Awal bulan ini, seorang lelaki hadir ke mahkamah kerana memakai baju-T menyokong tentera Hamas dan Jihad Islam Palestin, yang diharamkan di Britain pada 2005.
Sebanyak tiga kali pada Jun, Feras Al Jayoosi, 34, memakai pakaian itu di kawasan Golders Green di utara London, yang mempunyai populasi Yahudi yang tinggi. – AFP, 20 November, 2021.
Komen